Khamis, 12 Mei 2022 | 10:44pm

'Utamakan kepentingan rakyat bukan selamatkan syarikat gergasi'

KUALA LUMPUR: Kerajaan harus mengutamakan soal rakyat untuk menyelamatkan negara berbanding menyelamatkan syarikat gergasi, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata soal kepentingan rakyat mesti diutamakan supaya negara mempunyai hala tuju jelas pasca COVID-19.

"Kita bincang soal 'bail out', kita lihat soal keutamaan kita kepada syarikat-syarikat gergasi, nak selamatkan negara ini selamatkan syarikat gergasi.

"Saya kata nak selamatkan negara ini, selamatkan kepentingan rakyat di bawah dahulu merangkumi pekerjaan mereka, pendidikan, makan minum, harga barang dan kos sara hidup. Itu yang harus menjadi keutamaan," katanya dalam program Debat Perdana Anwar-Najib yang disiarkan secara langsung malam ini.

Menjawab soalan sama mengenai hala tuju negara, Datuk Seri Najib Razak berkata projek infra rakyat dan kesalinghubungan boleh menjana pendapatan termasuk mencipta jutaan pekerjaan.

Justeru, kata bekas Perdana Menteri itu, Malaysia ada peluang untuk 'reset' menerusi pengubahsuaian yang dilakukan terhadap pelan, namun matlamatnya jangan diubah iaitu menjadikan negara sebagai negara maju berpendapatan tinggi.

"Antaranya soal infra rakyat... kesalinghubungan. Ini mesti kita buat sebab ini boleh menjana berjuta-juta pekerjaan umpamanya ECRL yang telah dilewatkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), HSR, Lebuhraya Pan Borneo, MRT3, LRT 3, Pengerang, TRX dan Bandar Malaysia.

"Semua projek ini boleh membangunkan ekonomi negara. Bila bangunkan ekonomi negara adalah untuk beri pekerjaan kepada rakyat.

"Tetapi saya nak sebutkan, ini semua premisnya apa? Kestabilan politik. Jangan ulang balik empat tahun tiga kerajaan tiga perdana menteri. Tak mungkin orang ada keyakinan kepada negara kalau tidak ada kestabilan politik. Ini mesti kita lakukan untuk menjamin masa depan kita," katanya.

Berita berkaitan:

  • Debat Anwar-Najib berlangsung aman, tanpa provokasi
  • Kerajaan hadapi tekanan hasil apabila PH hapuskan GST
  • 'Cash is king', 'king' itu rakyat - Najib
  • Anwar sokong buka semula siasatan 'skandal forex'
  • Najib mahu kestabilan politik, Anwar kata baiki tadbir urus
  • Najib cadang Petronas ambil alih Sapura Energy
  • Syor Sapura Energy jalani audit forensik
  • Sektor O&G beri sumbangan besar kepada KDNK
  • Empat aspek jadi negara maju berpendapatan tinggi - Najib
  • Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Debat Perdana Anwar-Najib di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program Debat Perdana Anwar-Najib di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
    Berita Harian X