Khamis, 12 Mei 2022 | 10:41pm

Najib mahu kestabilan politik, Anwar kata baiki tadbir urus

KUALA LUMPUR : Malaysia perlu mengembalikan kestabilan politiknya sebagai formula untuk kembali bangkit dalam mendepani kelembapan ekonomi dan cabaran inflasi yang melanda negara ketika ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kestabilan ini juga membolehkan kerajaan merangka pelbagai dasar dan melaksana pelbagai projek mega yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

"Kita perlu rancangan jangka panjang. Kalau asyik tukar kerajaan, kita tidak ada masa. Inilah yang amat diperlukan oleh negara sekarang.

"Saya yakin kita ada kekayaan, kita cukup sumber untuk angkat darjat kita ke tahap lebih baik," katanya ketika berkongsi pentas bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Program Debat Perdana malam ini.

Program itu disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini.

Dalam pada itu, Najib mengakui bersetuju dengan Anwar apabila berbicara soal ketelusan dan memerangi rasuah.

"Kalau kita buat projek infra untuk rakyat pun, kita buat tender terbuka dan MRT (Transit Aliran Massa) contohnya, bila kita buat tender terbuka ia siap lebih awal," katanya.

Beliau berkata, projek infra rakyat mesti diteruskan kerana ia boleh menjana pendapatan kepada negara, sekali gus membangunkan semula ekonomi pasca pandemik COVID-19 serta membuka peluang pekerjaan buat rakyat.

"Tapi ini semua premisnya apa, (tak lain tak bukan demi) kestabilan politik. Jangan ulang balik empat tahun lepas, tiga kerajaan, tiga Perdana Menteri. Tak mungkin orang ada keyakinan pada negara kalau tidak ada kestabilan, apatah lagi untuk jamin masa depan," katanya.

Mengulas topik sama, Anwar berkata , perkara utama yang mesti diselesaikan adalah tadbir urus yang betul oleh kerajaan.

"Saya yakin permulaan dengan pengurusan. Orang mual dengan politik sekarang dengan percaturan perebutan dan pemunggahan kekayaan oleh pimpinan.

"Oleh demikian, kita harus bawa keyakinan baharu bahawa politik dan pimpinan tidak lari daripada amanah dengan membersihkan diri daripada rasuah.

"Masalah rasuah, salah guna wang negara dan sebagainya, ini tidak terkait dengan satu dua orang, tetapi masalah ini mesti ditangani," katanya.

Berita berkaitan:

  • Debat Anwar-Najib berlangsung aman, tanpa provokasi
  • Kerajaan hadapi tekanan hasil apabila PH hapuskan GST
  • 'Cash is king', 'king' itu rakyat - Najib
  • Anwar sokong buka semula siasatan 'skandal forex'
  • 'Utamakan kepentingan rakyat bukan selamatkan syarikat gergasi'
  • Najib cadang Petronas ambil alih Sapura Energy
  • Syor Sapura Energy jalani audit forensik
  • Sektor O&G beri sumbangan besar kepada KDNK
  • Empat aspek jadi negara maju berpendapatan tinggi - Najib
  • Najib dan Anwar ketika berkongsi pentas Debat Perdana yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini. - NSTP/ Mohamad Shahril Badri Saali
    Najib dan Anwar ketika berkongsi pentas Debat Perdana yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini. - NSTP/ Mohamad Shahril Badri Saali
    Berita Harian X