X
Khamis, 12 Mei 2022 | 9:56pm
Najib ketika Debat Perdana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Najib ketika Debat Perdana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, malam ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Najib cadang Petronas ambil alih Sapura Energy

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) mengambil alih Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

Cadangan itu antara dua syor digariskan bekas Perdana Menteri itu sebagai langkah untuk menyelamatkan Sapura Energy memandangkan PETRONAS memiliki kepakaran, dengan satu lagi pilihan membabitkan pinjaman bank kepada syarikat itu yang dijamin kerajaan.

Beliau berkata, kedua-dua opsyen atau pilihan digariskannya itu tidak akan membabitkan satu sen pun wang kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui Sapura Energy masih memiliki potensi untuk kembali bangkit bersandarkan kepada persekitaran harga minyak tinggi ketika ini dan potensi masa depan syarikat O&G terbabit.

"Saya melihat PETRONAS memiliki keupayaan untuk membantu. Apabila PETRONAS mengambil alih, syarikat itu boleh jamin supaya RM7 bilion kontrak Sapura Energy dapat ditamatkan dan diselesaikan dengan baik, serta jamin modal kerja yang cukup baik untuk Sapura Energy.

"Apabila syarikat ini sudah pulih dan saham juga naik, PETRONAS boleh menjualnya semula. Dengan menjualnya semula apabila semua sudah pulih, PETRONAS untung, pelabur ASB (Amanah Saham Bumiputera) juga untung dan begitu juga kerajaan serta rakyat," katanya ketika program Debat Perdana yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di sini malam ini.

Program debat hampir sejam setengah itu menemukan Najib bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan.

Selain isu berkaitan nasib Sapura Energy terutama berkaitan kewajaran 'bailout' (menyelamatkan) syarikat O&G berkenaan, debat berlangsung dalam empat pusingan itu turut membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Najib ketika mengulas syor berkenaan, berkata opsyen 'bailout' membabitkan PETRONAS seperti dicadangkan beliau bukan asing kerana pernah dipraktikkan di Amerika Syarikat (AS) apabila AIG dan Citi Group diselamatkan negara itu.

"Bailout AIG akhirnya menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat untung AS$22 bilion, manakala melalui City Group negara itu untung AS$12 bilion.

"Begitu juga sekiranya kita gunakan opsyen ini, saya optimis PETRONAS akan untung, pelabur ASB akan untung, negara juga akan untung dan kita akan mempunyai satu lagi platform di persada antarabangsa yang kita boleh banggakan," katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata langkah menyelamatkan Sapura Energy itu perlu dilaksanakan segera kerana tanpa sebarang tindakan sehingga 10 Jun ini, syarikat O&G itu mungkin diisytiharkan muflis.

Katanya, penyelamatan Sapura Energy akan menyelamatkan 10,500 anak tempatan yang berkemahiran dan 3,000 vendor tempatan.

"Sapura Energy kekal syarikat strategik yang menjadi penggerak kepada sektor O&G negara. Syarikat ini memiliki potensi bernilai RM92 billion dalam masa dua tahun," katanya.

Najib menjelaskan, beliau bertegas untuk menyelamatkan Sapura Energy disebabkan ia membabitkan 10.6 juta pelabur dalam Pemodalan Nasional Bhd (PNB) yang mana ia membabitkan nilai pelaburan RM5 bilion untuk menguasai 40 peratus pegangan dalam syarikat itu.

Beliau pada masa bersetuju tindakan perlu diambil sekiranya berlaku penyelewengan dalam Sapura Energy yang pernah menjadi syarikat O&G kedua terbesar dunia itu, namun syarikat itu tidak boleh dibiarkan muflis kerana ia akan merugikan negara dan rakyat.

Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion, berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Perolehannya merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Berita berkaitan:

  • Debat Anwar-Najib berlangsung aman, tanpa provokasi
  • Kerajaan hadapi tekanan hasil apabila PH hapuskan GST
  • 'Cash is king', 'king' itu rakyat - Najib
  • Anwar sokong buka semula siasatan 'skandal forex'
  • 'Utamakan kepentingan rakyat bukan selamatkan syarikat gergasi'
  • Najib mahu kestabilan politik, Anwar kata baiki tadbir urus
  • Syor Sapura Energy jalani audit forensik
  • Sektor O&G beri sumbangan besar kepada KDNK
  • Empat aspek jadi negara maju berpendapatan tinggi - Najib
  • Berita Harian X