X
Khamis, 12 Mei 2022 | 9:55pm
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Debat Perdana Anwar-Najib di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Debat Perdana Anwar-Najib di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Syor Sapura Energy jalani audit forensik

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjalankan audit forensik terhadap syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) yang sedang mengharungi tempoh getir susulan kemelut hutang.

Ketua Pembangkang itu berpandangan langkah itu mustahak untuk menentukan punca yang berlaku dalam syarikat itu sebelum kerajaan memutuskan untuk campur tangan urusan berkenaan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata tekad politik juga perlu sebagai pendorong kepada usaha untuk membetulkan sistem yang terpalit dengan rasuah, penyelewengan atau memiliki urus tadbir lemah dalam sesebuah syarikat.

"Tetapi soalnya bukan soal bantu atau bail out. Soalnya sebelum kita mencampuri dalam urusan ini (Sapura Energy) mesti ada audit forensik.

"Ini kerana bila timbul masalah (syarikat) Perwaja dahulu bila saya diarahkan untuk membawa Perwaja, setelah jadi kelam kabut di bawah Tan Eric Chia... apa yang saya lakukan ialah saya minta PriceWaterhouse atau sekarang PwC menggunakan seluruh kuasa melakukan audit forensik," katanya ketika pembukaan Debat Perdana Anwar-Najib malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya kerajaan mahu mencampuri urusan ini, pengurusan Sapura Energy sekarang perlu memberitahu apakah bentuk penyelesaian termasuk adakah perlu kerajaan campur tangan dalam masalah syarikat berkenaan.

Tambahnya, jika kerajaan perlu mencampuri urusan itu, syarikat berkenaan juga perlu mengemukakan syaratnya.

"Bagaimana kita harus menggunakan siasatan lengkap dan rapi untuk menghukum orang yang bertindak, yang menyalahgunakan kuasa mereka. Kalau tidak, ia akan ulang bukan satu tetapi 10 atau 15 syarikat.

"Kalau kita ulang permasalahan yang sama sehingga tidak ada integriti, tidak ada urus tadbir baik, tidak ada perubahan, tekad politik untuk membetulkan sistem yang wujud. Bila ada masalah dihempap kepada kita (kerajaan) untuk menyelesaikan. Ini bukan cara kita menguruskan syarikat-syarikat ini," katanya.

Anwar menyuarakan kebimbangan jika integriti terus melemah dalam urus tadbir syarikat berkenaan sehingga terus mencatatkan kerugian tatkala Ketua Eksekutif syarikat meraih untung berbilion ringgit menerusi penjualan pada 2019 oleh Datuk Mokhzani Mahathir.

Dakwanya, individu berkenaan mencatatkan keuntungan yang besar dan apabila golongan elit Bumiputera dan elit politik menguasai keuntungan besar, ia akhirnya membebankan kerajaan dengan permasalahan untuk selamatkan syarikat berkenaan seperti yang berlaku terhadap beberapa syarikat berkaitan kerajaan.

"Ia termasuk yang telah berlaku dengan Tabung Haji, Felda, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekarang ini dan kemungkinan dengan Serba Dinamik dan DNB (Digital nasional Berhad) kalau kita tak waspada.

"Oleh yang demikian, kita mesti lihat kerangka ini dalam bentuk yang lebih besar merangkumi masalah pengurusan, masalah integriti, masalah rasuah dan masalah penyalahgunaan kuasa," katanya.

Berita berkaitan:

  • Debat Anwar-Najib berlangsung aman, tanpa provokasi
  • Kerajaan hadapi tekanan hasil apabila PH hapuskan GST
  • 'Cash is king', 'king' itu rakyat - Najib
  • Anwar sokong buka semula siasatan 'skandal forex'
  • 'Utamakan kepentingan rakyat bukan selamatkan syarikat gergasi'
  • Najib mahu kestabilan politik, Anwar kata baiki tadbir urus
  • Najib cadang Petronas ambil alih Sapura Energy
  • Sektor O&G beri sumbangan besar kepada KDNK
  • Empat aspek jadi negara maju berpendapatan tinggi - Najib
  • Berita Harian X