Khamis, 12 Mei 2022 | 8:47pm

Kolam takungan, taman rekreasi tak boleh 'sentuh'

KUALA LUMPUR: Semua kawasan rekreasi dan tasik yang mempunyai kolam takungan di ibu kota tidak akan dibenarkan untuk dibangunkan bagi melindungi Lembah Klang daripada risiko bencana, termasuk kejadian banjir kilat pada masa akan datang.

Ia adalah antara langkah akan diambil Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam perancangan tiga pendekatan membabitkan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani masalah bencana alam secara serius.

Langkah lain termasuk membina infrastruktur yang mampu mengalirkan air terus ke Sungai Klang selain melaksanakan lebih banyak projek tebatan banjir di ibu kota.

Mengulas mengenainya, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata sebagai langkah jangka sederhana pula, DBKL juga akan membina lebih banyak kolam takungan air di sekitar Kuala Lumpur untuk menampung jumlah air hujan yang besar.

"Bagi projek yang diluluskan sebelum ini (pembangunan membabitkan kolam takungan banjir di ibu kota) kita sudah minta Ketua Setiausaha (KSU) kementerian untuk kaji semula.

"DBKL turut memaklumkan tidak akan membenarkan kawasan pembangunan di semua kawasan yang diwartakan sebagai rekreasi," katanya kepada BH.

Sebelum ini, DBKL mengumumkan 14 tindakan jangka pendek khusus bagi menangani masalah banjir kilat di 25 kawasan tumpuan atau 'hotspot' di Kuala Lumpur dalam tempoh tiga bulan hingga Julai ini melalui Pelan Tindakan Tebatan Banjir Kilat Kuala Lumpur 2022.

Antara 'hotspot' dikenal pasti ialah di Jalan Brunei, Jalan Pudu, Jalan Changkat Thambi Dollah, hadapan Balai Polis Salak Selatan, Jalan Antoi, Jalan Pintasan Segambut, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Maharajalela dan Bulatan Dato Onn.

Pada masa sama, Shahidan berkata, satu lagi tindakan jangka pendek adalah meletakkan pam sementara di 20 stesen 'hotspot' bagi aliran air keluar ketika hujan lebat.

"Kita menggunakan pendekatan pam (mesin) dan manusia di mana penguat kuasa DBKL, selain sukarelawan diminta untuk bekerja dalam masa tiga hingga enam bulan ini untuk selesaikan masalah ini.

"Tugas mereka termasuklah membersihkan kolam takungan dan laluan air. Kuala Lumpur itu sendiri akan dibersihkan dan akan berwajah baharu," katanya.

Ketika ini ada enam kolam takungan banjir di sekitar ibu negara iaitu Kolam Wahyu dan Kolam Delima berhampiran Taman Wahyu di Kepong; Kolam Nanyang, Kolam Batu, Kolam Batu 4 1/2, selain Kolam Taman Desa.

Bagaimanapun, sebelum ini dilaporkan dua daripada enam kolam takungan banjir terbabit iaitu iaitu Kolam Wahyu dan Kolam Delima didakwa diubah status pemilikan pada 2018 untuk tujuan pembangunan projek mega yang dikecam aktivis alam sekitar dan pembangkang.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berkenaan, termasuk kelulusan projek membabitkan kawasan kolam takungan banjir.

Projek pembangunan di Kolam Taman Desa yang diluluskan sebelum ini difahamkan sudah dibatalkan.

Laporan perunding berlesen bebas yang dilantik DBKL berhubung isu dua kolam takungan banjir itu sudah diserahkan kepada SPRM pada 31 Januari lalu dan sehingga kini hasil siasatannya belum diumumkan.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata ia susulan arahan SPRM supaya DBKL melantik perunding bebas dalam usaha menangani isu projek pembangunan berkait kolam takungan banjir di Kolam Wahyu dan Kolam Delima.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar Kuala Lumpur telah meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBKL) 2020.

Sejak pertengahan Disember lalu, Lembah Klang khususnya ibu kota dilanda banjir sebanyak empat kali menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa.

Banjir besar melanda Lembah Klang pada 18 Disember tahun lalu apabila hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan Hulu Langat, Kuala Langat, Shah Alam, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Kuala Lumpur di Lembah Klang 'tenggelam'.

Selain banjir, Lembah Klang turut berdepan ancaman banjir kilat apabila kejadian itu dilaporkan menenggelamkan beberapa jalan utama di pusat bandar Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu.

Kejadian sama berulang tujuh hari kemudian apabila hujan lebat sekitar Kuala Lumpur mengakibatkan air naik di beberapa lokasi dan menyebabkan banjir kilat.

Kali terakhir, ibu kota dilanda banjir kilat pada 25 April lalu apabila beberapa jalan utama di sekitar ibu negara termasuk Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Semantan, Jalan Pintasan Gambut, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, ditenggelami air susulan hujan lebat berterusan kira-kira satu jam.

Berita Harian X