Khamis, 12 Mei 2022 | 2:52pm
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama anak taska INFRA pada majlis sambutan hari raya aidilfitri KPLB di Institut Kemajuan Desa. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama anak taska INFRA pada majlis sambutan hari raya aidilfitri KPLB di Institut Kemajuan Desa. - Foto SAIFULLIZAN TAMADI

Status kerjasama Muafakat Nasional masih belum bincang - Mahdzir

BANGI: Kedudukan dan status kerjasama antara UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) masih belum dibincangkan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mesyuarat ke arah terbabit masih belum diadakan setakat ini.

"Belum lagi adakan mesyuarat (mengenai status Muafakat Nasional). Masih belum ada perbincangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga KPLB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Institut Kemajuan Desa (INFRA), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai kedudukan MN yang dibina UMNO bersama PAS pada 2019 akan dimuktamadkan tidak lama lagi oleh UMNO.

Ketika ini, Mohamad berkata, pelbagai kenyataan berhubung status UMNO dalam MN yang dizahirkan pemimpin tertentu, disifatkannya sebagai hanya pandangan individu.

Sementara itu, ditanya mengenai debat antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kedua-dua pemimpin pernah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan, jadi mereka lebih tahu apa yang hendak didebatkan.

"Saya fikir biarlah mereka ( Najib dan Anwar) berdebat. Kedua-duanya pernah menjawat jawatan tertinggi, seorang pernah jadi Perdana Menteri dan seorang lagi pernah jadi Timbalan Perdana Menteri.

"Mereka tahu apa yang sepatutnya nak buat dan apa yang sepatutnya mereka cakap dan rakyat mahu pada waktu ini," katanya.

Debat Perdana yang julung kali menampilkan dua figura besar dalam arena politik tanah air dijadualkan berlangsung di Auditorium MATIC, jam 9 malam ini.

Debat antara Najib dan Anwar akan menyentuh dua isu utama, pertama persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Berita Harian X