Khamis, 12 Mei 2022 | 9:05am
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto fail NSTP
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto fail NSTP

Debat Anwar-Najib malam ini dijangka 'panas'

KUALA LUMPUR: Debat Perdana yang julung kali menampilkan dua figura besar dalam arena politik tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak malam ini dijangka mengupas pelbagai isu panas berkaitan negara.

Gelanggang debat antara Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang dan bekas Perdana Menteri itu dijadualkan berlangsung di Auditorium MATIC, jam 9 malam.

Debat Perdana Najib dan Anwar akan menyentuh dua isu utama, pertama persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran bailout (menyelamatkan) Sapura Energy.

Sebelum ini, Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Perolehannya merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

Selain itu, Anwar dan Najib turut dijangka membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Lebih menarik perhatian ramai, Anwar turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengemukakan soalan kepada Najib dengan orang ramai boleh mengajukan soalan menerusi ruangan komen di akaun Twitter rasminya semalam.

Tinjauan BH di akaun Twitter rasmi Anwar mendapati lebih 165 individu memberikan reaksi dengan mengemukakan soalan antaranya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaksanaan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Orang ramai boleh mengikuti debat berkenaan di saluran televisyen Astro Awani, Facebook Sinar Harian, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.

* Debat ini bukan debat menang kalah, tetapi adalah idea kepada Malaysia lebih baik kerana objektif utama adalah untuk meraikan idea juga pandangan daripada pendebat-pendebat.

* Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu.

* PUSINGAN PERTAMA untuk isu Sapura, mukadimah adalah 4 minit dan penghujahan adalah 3 minit.

* PUSINGAN kedua adalah Masa depan Malaysia di mana mukadimah adalah 4 minit dan penghujahan adalah sebanyak 3 minit.

* PUSINGAN ketiga adalah soal jawab di mana pendebat akan berikan soalan kepada pihak lawan dan dan masa diperuntukkan untuk menjawab adalah 3 minit. Setiap soalan hyang diaju pula adalah pada 1 minit.

* PUSINGAN KEEMPAT adalah penggulungan dan pendebat diberikan masa 4 minit untuk penutup.

* Loceng akan dibunyikan SEKALI apabila tinggal lagi 1 minit sebelum hujah peserta berakhir, dan dibunyikan DUA KALI menandakan masa sudah tamat.

* Setiap pendebat harus mematuhi masa yang diberikan iaitu 4 minit untuk mukadimah dan penutup serta 3 minit untuk penghujahan. Buzzer akan dibunyikan sekali pada minit 1 minit terakhir dan 2x ketika masa tamat.

* Tidak dibenarkan menyerang peribadi dan isu yang sedang dibicarakan di mahkamah.

* Moderator berhak untuk menghentikan hujah jika sudah melebihi waktu yang ditetapkan atau pendebat melanggar peraturan.

* Pendebat tidak dibenarkan untuk berhujah keluar konteks isu yang disebut.

* Penonton tidak dibenarkan bertepuk tangan, bersorak atau menjerit ketika pendebat menyampaikan hujah dan sepanjang program berlangsung.

* Keputusan moderator adalah muktamad.

Berita Harian X