Rabu, 11 Mei 2022 | 5:11pm
Antara gejala HFMD adalah demam, ruam atau lepuh pada tapak tangan dan kaki, ulser pada mulut serta lidah.
Antara gejala HFMD adalah demam, ruam atau lepuh pada tapak tangan dan kaki, ulser pada mulut serta lidah.

Hampir 1,000 kes HFMD di Pulau Pinang sejak Januari

GEORGETOWN: Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang meningkat ketara apabila hampir 1,000 jangkitan direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding hanya 219 kes sepanjang tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin, berkata terdapat 959 kes HFMD dilaporkan sejak Januari hingga kini.

"Sehingga minggu epid 18, sebanyak 959 kes dilaporkan, meningkat berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan 219 kes dalam tempoh setahun.

"Bagaimanapun keadaan masih lagi terkawal dan ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada bagi mengelak anak mereka dijangkiti penyakit berkenaan, selain memeriksa aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan perincian sama ada lokasi mereka terdapat kes aktif HFMD," katanya, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum itu memaklumkan kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda sehingga ME 17/2022, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu, berbanding 1,752 kes bagi ME 17/2021. Tiga negeri mencatat kes tertinggi setakat tempoh itu adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor serta Perak.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya. Antara gejala ialah demam, ruam atau lepuh pada tapak tangan dan kaki, ulser pada mulut serta lidah.

Penyakit itu boleh menjangkiti semua peringkat umur, terutama kanak-kanak yang berusia lima tahun dan ke bawah.

Berita Harian X