Rabu, 11 Mei 2022 | 2:34pm

MAFI jangka perlu 15 tahun stabilkan industri jagung bijian

Oleh Aizat Sharif

bhnews@bh.com.my

PADANG BESAR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan tempoh 15 tahun diperlukan untuk menstabilkan industri penanaman jagung bijian untuk dijadikan makanan ternakan alternatif kepada dedak dalam usaha mengawal kenaikan harga ayam dan telur ayam di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata makanan untuk ayam merangkumi 70 peratus daripada keperluan modal keseluruhan yang lazimnya dilaburkan ke dalam industri penghasilan makanan industri penternakan.

"Dalam kos kasar penternakan ayam, kira-kira 70 peratus atau RM1.70 adalah peruntukan untuk makanannya. Kos lain amat kurang, jadi sebab itu kita perlu lihat dulu apa kaedah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu membabitkan 70 peratus itu.

"Oleh itu, industri ini (penanaman jagung bijian) sedang kita bina. Soal tempoh sebenarnya bergantung kepada kebersediaan petani, berapa banyak pengeluaran kita dan kualiti produk yang kita hasilkan kerana cabaran di situ banyak.

"Kita bukan sahaja menghasilkan input, tetapi kita hendak memastikan kualiti input itu memenuhi kehendak pasaran serta industri," katanya kepada pemberita selepas Program Walkabout Penuaian Jagung Bijian di Lembah Chuping, di sini hari ini.

Terdapat tujuh varieti jagung bijian ditanam di 10 ladang seluruh Malaysia ketika ini, iaitu GWG 111, GWG 888, GWG 5006, P 4546, KWS 8933, Pasific 339 dan Goldconda709.

Jagung bijian adalah bahan utama dalam rumusan makanan haiwan iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus. Secara keseluruhan, Malaysia mengimport 4.01 juta tan makanan ternakan pada 2020 bernilai RM6.15 bilion, dengan separuh daripadanya membabitkan dua juta tan jagung bijian bernilai RM1.73 bilion.

Badrul Hisham berkata, agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, JPV dan lain-lain sedang melihat keseluruhan aspek terbabit.

"Disebabkan itu juga, jangkaan tempoh 15 tahun itu adalah bagi memastikan kestabilan industri penanaman jagung bijian. Tempoh satu atau dua tahun sememangnya tidak cukup dalam pelaksanaan rancangan ini kerana kita perlu melihat dari seluruh sudut rantaian nilai itu," katanya.

Apabila kestabilan industri berkenaan mula menampakkan hasilnya, katanya, kerajaan dapat menjadikan penanaman jagung bijian sebagai salah satu daripada pembangunan pertanian negara.

"Dalam hal ini, prosesnya agak panjang kerana kita hendak pastikan segalanya selamat dan setiap pelabur industri ini mendapat rujukan yang betul, prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan boleh menanam (jagung bijian) dari proses A hingga Z tanpa masalah sepanjang rantaian nilai itu.

"Jika dilihat bahan dedak itu sebenarnya terdiri daripada jagung bijian dan kacang soya serta lain-lain campuran. Sebab itu kita fokus kepada bahan utama, iaitu jagung supaya kita boleh selesaikan masalah utama.

"Sekiranya langkah ini berjalan dengan lancar dan baik seperti yang dijalankan hari ini, ia dapat membantu dalam permasalahan (isu kenaikan harga ayam) pada waktu ini," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan hasil sebanyak 5.8 tan jagung bijian bagi satu hektar tanah ladang yang dicapai di Malaysia ketika ini, ia dilihat sebagai sangat baik.

"Di Thailand juga, pengeluarannya sekitar jumlah berkenaan. Kita merancang sehingga 2030, keseluruhan ladang jagung bijian di negara ini mampu mengeluarkan 10 hingga 12 tan sekiranya petani menjalankan penanaman menggunakan cara dan teknologi yang betul.

"Ini sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada bekalan makanan yang diimport dan akan dapat menstabilkan pasaran, sekali gus mengelak kenaikan harga jualan (ayam)," katanya.

BH hari ini melaporkan Malaysia menyasar mengeluarkan 600,000 tan jagung bijirin untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun lagi, sekali gus mengurangkan 30 peratus daripada pergantungan import.

Susulan usaha ini, ia dijangka berupaya mengawal harga ayam dan telur apabila penternak tempatan sering menggunakan alasan bahawa antara faktor kenaikan harga adalah disebabkan harga makanan ternakan yang melambung.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan dilaporkan berkata, berkata sasaran itu mampu dicapai melalui projek penanaman jagung bijian di kawasan seluas 50,000 hektar secara berfasa bermula tahun depan.

Ketika ini, Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Krisis bekalan dan kenaikan harga ayam serta telur sering berlaku di negara ini sehingga pelbagai pihak mendesak agar kerajaan segera menanganinya kerana ia membabitkan isu keselamatan makanan penduduk.

Secara purata, keperluan ayam di Malaysia adalah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ayam sebulan. Penternak tempatan pula kebelakangan ini didapati mengurangkan pengeluaran ayam bagi mengelak kerugian akibat peningkatan kos operasi, yang disumbangkan oleh peningkatan ketara harga dedak.

Pengerusi Persatuan Penternak Manjung, Tan Wooi Perng sebelum ini berkata, penternak berdepan kenaikan harga makanan ayam setiap bulan dengan keseluruhan RM33 dalam tempoh dua tahun, selain kekangan tenaga kerja asing di ladang ternakan dan kos bekalan elektrik bagi reban sistem tertutup.

Harga dedak ayam meningkat sejak pandemik COVID-19 daripada RM80 satu beg menjadi RM120 hingga RM125 bergantung kepada kuantiti dan jenama. Seekor ayam seberat dua kilogram (kg) memerlukan 4kg makanan bagi tempoh 35 hari mencapai tempoh matang untuk dijual.

Jabatan Pertanian mula melaksanakan penanaman jagung bijian bagi makanan haiwan melalui projek rintis sejak 2018 hingga tahun ini. Sehingga kini, kawasan seluas 280 hektar tanaman jagung bijian di Perlis, Kedah, Pahang, Perak dan Sarawak dibuka dengan pembabitan kira-kira 50 usahawan tani dan syarikat swasta.

Pada tahun ini, selain meneruskan penanaman jagung bijian ini di kawasan sedia ada, jabatan itu juga membuka kawasan baharu, manakala tahun depan akan memasuki fasa pengukuhan dan menuju ke arah usaha untuk menghasilkan 30 peratus keperluan jagung bijian dalam negara.

Ia termasuk dalam blueprint Industri Jagung Bijian Negara yang mempunyai tiga fasa iaitu Fasa 1: Projek Rintis (2018 hingga 2022), Fasa 2: Fasa Pengukuhan (2023 hingga 2027) dan Fasa 3: Fasa Pengembangan (2028 hingga 2032).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd (tiga dari kanan) melihat jagung bijian ditanam di Lembah Chuping, Perlis, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd (tiga dari kanan) melihat jagung bijian ditanam di Lembah Chuping, Perlis, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Berita Harian X