Selasa, 10 Mei 2022 | 4:46pm

Kaji kes buli doktor pelatih di seluruh negara - CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan kajian menyeluruh di seluruh negara membabitkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior kerana isu ditimbulkan sekarang hanya membabitkan sebahagian kecil kes saja berbanding keadaan sebenar yang lebih besar.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata penyelesaian kes itu tidak boleh dikendalikan secara sedikit demi sedikit atau mengambil tindakan hanya apabila timbul masalah.

Susulan itu, beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas dianggotai doktor, jururawat, dan masyarakat awam bagi menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.

Katanya, jawatankuasa itu perlu menerbitkan laporan dengan cadangan bagi memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar.

"Kita bimbang dengan laporan terkini mengenai doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang (HPP) yang membunuh diri dan ia menjadi kes kedua dalam tempoh dua tahun.

"Kes buli terhadap pelatih dan kakitangan perubatan lebih muda mungkin hanya sebahagian kecil hal atau masalah kelihatan daripada masalah sebenarnya yang mungkin lebih besar.

"Membuli dan waktu kerja yang panjang juga menjadi faktor tidak boleh diabaikan kerana tekanan dan kemurungan dikaitkan dengan bagaimana doktor dilayan serta bagaimana profesional mereka serta sistem institusi mengendalikan aduan.

"Jadi, CAP menggesa KKM buat kajian di seluruh negara kerana kes buli doktor pelatih dan doktor junior bukan berlaku di Pulau Pinang saja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Data KKM menunjukkan antara 2014 hingga 2016, terdapat 554 kemalangan berulang-alik ke tempat kerja membabitkan profesional perubatan dan ini hanya kes yang dilaporkan.

Mohideen berkata, banyak kemalangan termasuk membabitkan kematian, berlaku terhadap golongan profesional perubatan dipercayai akibat waktu bekerja yang panjang dengan rehat minimum di antara syif.

"Menerusi tinjauan terhadap doktor pelatih di Pulau Pinang, sebanyak 88.5 peratus daripadanya menilai tahap tekanan mereka antara tiga hingga lima pada skala satu hingga lima dan amat mengejutkan apabila 15.4 peratus daripadanya menilai tahap tekanan dengan maksimum lima pada skala.

"Bagaimanapun, kajian sebilangan besar orang yang mungkin dianggap berisiko tinggi membunuh diri, tidak akan membunuh diri mereka sendiri, manakala kira-kira separuh daripada semua kes bunuh diri berlaku dalam kalangan orang yang dilihat berisiko rendah," katanya.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, kekurangan jawatan tetap dan peluang mengikuti latihan pakar di Malaysia antara punca utama doktor berhenti dan mengalami tekanan akibat unsur ketidakpastian yang mereka cipta.

"Tanpa menyelesaikan isu tertunggak membabitkan doktor, peningkatan bilangan sekolah perubatan dan program perubatan selama ini akan terus menghasilkan graduan perubatan, melebihi kapasiti KKM bagi menyerap mereka ke jawatan tetap.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seharusnya membantu KKM menangani isu ini memandangkan kekosongan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan bagi doktor dibekukan sejak 2015," katanya.

Menurut KPT, purata 4,000 doktor baharu diperlukan setiap tahun untuk Malaysia mencapai sasaran seorang doktor bagi setiap 400 penduduk menjelang 2025, dengan menyatakan institusi pengajian tinggi tempatan mempunyai jumlah kapasiti pengambilan seramai 4,820 pelajar.

"Ia bermakna kita masih memerlukan doktor tetapi hanya kekurangan jawatan tetap, satu halangan yang akan terus membelenggu profesion perubatan bagi tahun akan datang jika tiada usaha bersepadu dalam menyelesaikannya," katanya.

Berita Harian X