Isnin, 9 Mei 2022 | 6:08pm
Tompokan buih putih dikesan di Sungai Skudai pada Sabtu lalu. - Foto ihsan ADUN SKUDAI
Tompokan buih putih dikesan di Sungai Skudai pada Sabtu lalu. - Foto ihsan ADUN SKUDAI

Pencemaran buih di Sungai Skudai tidak jejas LRA

JOHOR BAHRU: Pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih dikesan pada Sabtu lalu, tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini, yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven, berkata hasil pemantauan serta siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.

"Pengurusan LRA Sultan Ismail yang turut berada di lokasi kejadian untuk tinjauan bersama saya pada pagi tadi, memaklumkan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji itu.

"Saya dan JAS Johor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca pencemaran, terutama di premis beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang juga berpotensi menyebabkan pencemaran sungai sehingga berbuih.

"Persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH 7.

"Orang ramai boleh melaporkan kes pencemaran kepada JAS melalui talian bebas tol: 1-800-88-2727 atau melalui eaduan di eaduan@doe.gov.my, jika melihat apa jua pencemaran yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih tular dalam media sosial.

Bagaimanapun, JAS Johor dilaporkan mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu dan mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, dipetik berkata tahap alkali (pH) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai, pagi tadi, dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian di sungai itu berpunca daripada industri di kawasan sekitar.

Berita Harian X