Isnin, 9 Mei 2022 | 9:47am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

958 kes penyakit HMFD di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Sebanyak 958 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Negeri Sembilan sejak awal Januari sehingga 27 April lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata pada Minggu Epid (ME) 17/22, sebanyak 139 kes berkenaan dicatatkan.

Katanya, ia membabitkan 81 kes di daerah Seremban, Port Dickson (16), Jempol (12), Tampin (13), Kuala Pilah (10) dan enam kes di Rembau serta satu kes di Jelebu.

"Setakat ini terdapat 13 kes HFMD yang masih aktif iaitu lima di Rembau, Port Dickson (tiga), Jempol (tiga), Tampin (satu) dan Seremban (satu) yang kesemuanya membabitkan tadika, taska serta rumah persendirian.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mendapati bilangan kes HFMD yang banyak dilaporkan tahun ini di negeri ini adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam.

"JKNNS akan terus memantau dan menyalurkan maklumat nasihat serta penjagaan sebagai langkah membendung penyakit berkenaan daripada terus meningkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga dilihat terus melakukan aktiviti promosi langkah pencegahan HFMD, pemantauan ke premis-premis tadika dan pusat jagaan kanak-kanak, serta melakukan penutupan premis bagi yang mempunyai wabak HFMD tinggi.

Oleh demikian, beliau berharap ibu bapa serta penjaga sentiasa memantau kesihatan anak masing-masing dengan tidak menghantar anak ke sekolah, tadika, pusat jagaan atau tempat awam jika terdapat gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, blister di tangan atau kaki.

"Guru atau penjaga yang bertugas di pintu masuk taska atau tadika perlu mengenal pasti segera kanak-kanak yang bergejala HFMD dan mengecualikan mereka dari mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran bersama kanak-kanak yang lain.

"Mereka juga perlu mengamalkan aspek kebersihan dan perlu kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya menegaskan kes HFMD mencatatkan peningkatan ketara apabila merekodkan sebanyak 22,463 kes di seluruh negara pada ME 17/22.

Noor Hisham berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda berbanding ME sama pada tahun lalu iaitu hanya mencatatkan 1,752 kes dan menjelaskan penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

Katanya, HFMD secara majoriti menjangkiti kanak-kanak berumur 0 hingga enam tahun iaitu dengan 21,508 kes, diikuti 729 kes membabitkan kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun.

Berita Harian X