Ahad, 8 Mei 2022 | 12:06pm
 Tan Sri Lee Lam Thye
Tan Sri Lee Lam Thye

'Maklumkan laporan siasatan petugas bebas kepada umum'

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memastikan hasil laporan pasukan petugas bebas menyiasat kes kematian pegawai pelatih perubatan dan dakwaan budaya buli dibentangkan kepada umum.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini berikutan kes terbabit membabitkan kepentingan awam dan memerlukan satu siasatan yang telus dan berwibawa.

"Kita harap hasil siasatan nanti dapat dibentangkan kepada umum, kita tidak mahu hasil laporan nanti senyap sepi, sebab sebelum ini pun banyak pasukan petugas khas ditubuhkan untuk siasat isu ini dan itu.. tapi selepas seketika orang ramai tidak tahu pun apa hasil siasatan.

"Harap Menteri Kesihatan boleh umumkan nanti apabila siasatan lengkap supaya orang ramai boleh tahu apa sebenarnya berlaku," katanya kepada BH hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas penubuhan pasukan petugas khas itu susulan kejadian seorang pelatih perubatan di Hospital Pulau Pinang awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin mengesahkan mangsa adalah Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada 4 April lalu.

Laporan muka depan BH baru-baru ini turut memaparkan 'penderaan mental' terpaksa ditempuhi ramai doktor pelatih di sesetengah hospital awam di negara ini.

Selain itu Lam Thye berkata, bagi menyiasat secara mendalam dan teliti, pasukan petugas bebas itu juga mesti dianggotai bukan sahaja pihak KKM sebaliknya mereka yang berkelayakan termasuk pakar perubatan, pihak persatuan perubatan dan juga pakar psikologi.

"Pasukan ini juga perlu diberi tempoh tertentu bagi menyelesaikan siasatan tanpa tekanan dari mana-mana pihak," katanya.

Menyentuh isu buli kalangan petugas perubatan, Lam Thye berkata, perkara berkenaan bukan isu baharu dan sebelum ini pernah dilaporkan berlaku cuma kurang diberi pendedahan.

"Sebelum kejadian terbaharu ini saya rasa beberapa tahun sebelum ini pernah ada dilaporkan gangguan dan tekanan dihadapi pelatih perubatan. Saya berharap sekiranya siasatan pasukan ini mendapati ada niat ke arah untuk membuli, isu ini perlu ditangani dan diatasi," katanya.

Selain itu beliau berkata, masa bekerja yang panjang sehingga lebih 16 jam perlu ditempuhi doktor pelatih juga perlu diberi perhatian serius pihak berkaitan.

"Saya gesa kaji semula waktu bekerja untuk semua petugas perubatan termasuk doktor dan doktor pelatih supaya beban tugas boleh dikurangkan.

"Ini juga membolehkan petugas mempunyai keseimbangan masa untuk menjalani kehidupan peribadi mereka bersama keluarga atau rakan, sekurang-kurangnya dapat beristirehat dan mengurangkan tekanan kerja," katanya.

Berita Harian X