Ahad, 8 Mei 2022 | 10:52am
Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail NSTP
Dr Muhamad Akmal Saleh. - Foto fail NSTP

'Doktor pelatih perlu dilatih bukan dibuli sesuka hati'

MELAKA: Doktor pelatih yang berdepan situasi dibuli doktor senior hingga menjatuhkan maruah mereka digesa melaporkan segera perbuatan itu supaya tindakan tegas dapat diambil jika benar berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata tempoh menjalani housemanship officer (HO) ataupun doktor pelatih adalah saat penting dan kritikal untuk mengguna pakai ilmu di sekolah perubatan serta perlu diasimilasikan dengan pengalaman bekerja sebenar.

"Mengajar dan melatih bukan lesen kepada individu untuk membuli tanpa memikirkan perasaan mereka (doktor pelatih).

"Saya juga pernah menjadi HO selama dua tahun di Hospital Ampang dan merasai bagaimana perit jerih untuk belajar dan menimba pengalaman menjadi seorang doktor.

"Walaupun perit tetapi tidak pernah sesekali senior ataupun pegawai perubatan ataupun pakar yang membuli sehingga menjatuhkan maruah saya.

"Jadi, jika ada mana-mana HO di Melaka yang mempunyai situasi dibuli begitu teruk sehingga menjatuhkan maruah, anda boleh maklumkan kepada saya secara terus untuk saya siasat sendiri dan ambil tindakan jika ia benar berlaku," katanya dalam kenyataan

semalam.

Dr Muhamad Akmal berkata, menjalani HO yang memerlukan bekerja dalam keadaan penuh tekanan bukan mudah dan pengalaman itulah membentuk doktor berjaya dan paling penting selamat untuk pesakit apabila menjadi pegawai perubatan atau pakar kelak.

"Jika doktor pelatih ini cuai ataupun melakukan kesilapan pasti akan menyebabkan nyawa seseorang tergadai.

"Jadi, tiada tindakan yang boleh dijadikan alasan memperlakukan doktor pelatih ini seperti tiada perasaan dan dibuli sehingga menjatuhkan maruah mereka.

"Amaran keras juga saya berikan pada mana-mana pegawai perubatan jika anda melakukan perkara itu sila berhenti sebelum saya ambil tindakan," katanya.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau memberi jaminan akan bertindak tegas bagi memastikan perkara itu tidak berlaku di Melaka.

"Semua aduan boleh hantar mesej kepada saya di Facebook secara peribadi ataupun boleh jumpa saya secara terus," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pasukan berkenaan juga akan menyiasat dakwaan berlakunya budaya buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di dalam hospital.

Berita Harian X