Jumaat, 6 Mei 2022 | 4:58pm
Doktor pelatih dan kontrak mendakwa ada amalan buli di hospital kerajaan. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS
Doktor pelatih dan kontrak mendakwa ada amalan buli di hospital kerajaan. - Foto hiasan NSTP/ASWADI ALIAS

Kementerian tubuh pasukan siasat kematian doktor pelatih

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas bebas, bagi menyiasat laporan kematian seorang pegawai perubatan pelatih dan dakwaan budaya buli di fasiliti kerajaan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah menerima laporan awal mengenai kes kematian itu.

Beliau berkata, polis juga sedang menjalankan siasatan kes berkenaan.

"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari Ketua Jabatan mendiang di PPinang (Pulau Pinang). Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan.

"KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah 'taskforce' (pasukan petugas) bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya buli yang didakwa berlaku," katanya di Twitter hari ini.

Kenyataan Khairy itu merujuk insiden seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang, awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April lalu.

Dalam kenyataan kelmarin, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berkata, mereka masih menunggu ujian makmal sebelum melengkapkan laporan siasatan kematian doktor pelatin itu.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Ma'arof Sudin mengesahkan mangsa Pegawai Perubatan Siswazah yang melaporkan diri di negeri itu pada 4 April lalu.

Laporan muka depan BH hari ini turut memaparkan 'penderaan mental' yang didakwa terpaksa ditempuhi ramai doktor pelatih di sesetengah hospital awam negara ini.

Antara penderaan mental yang terpaksa mereka hadapi ialah dimaki, dihina dan dihalau di depan pesakit.

Ada juga doktor pelatih yang mengadu menerima gangguan mental, fizikal dan seksual daripada pegawai perubatan serta doktor pakar ketika bertugas dan menjalani latihan sebagai 'houseman' selama dua tahun.

Jurucakap Gerakan Hartal Kontrak yang juga seorang doktor mendakwa, perbuatan buli di hospital awam bukanlah perkara baharu, malah kerap menjadi perbualan dalam kalangan doktor kontrak dan doktor pelatih.

Dakwanya, perbuatan berkenaan sudah lama berlaku dan menyifatkan situasi kini sudah membarah sehingga sukar untuk diperbetul.

- Foto hiasan.
- Foto hiasan.

Merujuk hantaran sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, senada dengan Khairy sambil menegaskan budaya buli menjadi kesalahan dan tidak boleh dikompromi.

"Budaya buli adalah salah dan tidak boleh ditoleransi di mana-mana, terutama di hospital.

"Kita sedang menunggu siasatan polis untuk simpulkan dan laporan bedah siasat, termasuk keputusan kimia," katanya.

Berita Harian X