Jumaat, 6 Mei 2022 | 9:41am
Debat antara Anwar (kiri) dan Najib akan berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC). - Foto NSTP
Debat antara Anwar (kiri) dan Najib akan berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC). - Foto NSTP

Lokasi debat Anwar, Najib berubah tempat

KUALA LUMPUR : Lokasi debat perdana antara ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijadual 12 Mei depan akan berlangsung di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pejabat kedua-kedua pemimpin berkenaan hari ini, mereka memaklumkan lokasi baharu itu diputuskan hasil persetujuan kedua-dua pihak.

"Pihak Anwar dan Najib sudah mengadakan perbincangan dan mencapai kata sepakat, tempat penganjuran debat perdana.

"Dengan ini dimaklumkan kedua-dua pihak bersetuju memilih Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran debat pada 12 Mei 2022, pada jam 9 malam," katanya.

Katanya, debat perdana itu akan disiar secara langsung oleh media rasmi melalui saluran televisyen dan media sosial yang akan diumum kemudian.

'Kedua-dua pihak turut berharap debat perdana ini akan berlangsung dengan sempurna," katanya.

Sebelum ini, program debat berkenaan dijadual diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), namun difahamkan pihak universiti terbabit tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Berita Harian X