Isnin, 2 Mei 2022 | 9:28am

Agong, Permaisuri solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Pasangan diraja itu berangkat tiba di masjid berkenaan pada jam 8.14 pagi bersama anakanda Seri Paduka, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Solat sunat dipimpin Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari itu turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba pada jam 8.07 pagi.

Selain itu, anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersama pasangan serta orang awam juga hadir menunaikan solat sunat berkenaan.

Ini adalah kali pertama Seri Paduka menunaikan solat sunat Aidilfitri di luar dari Istana Negara.

Sebelum ini, baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak dua tahun lalu.

Solat sunat itu dilaksanakan mengikut ketetapan baharu berhubung kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid serta surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan, berkuat kuasa hari ini, selaras pengumuman kerajaan berkaitan kelonggaran SOP di masjid dan surau.

Ketetapan itu antara lain membabitkan beberapa pemansuhan meliputi imbasan kod QR MySejahtera untuk daftar masuk ke masjid dan surau, penggunaan sejadah sendiri serta penjarakan fizikal antara jemaah dalam semua keadaan di masjid dan surau.

Selain itu, kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus 'Berisiko Tinggi' atau bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Seterusnya, pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup, namun tidak diwajibkan di kawasan terbuka atau di luar dari kawasan itu.

Khutbah Aidilfitri bertajuk 'Kemenangan Menuju Keredaan' dibacakan Muhyidin, antaranya menyeru umat Islam seluruh negara melaksanakan kawalan kendiri dengan sebaiknya dan melengkapkan pengambilan vaksin penggalak serta vaksinasi untuk anak bagi mengurangkan risiko lebih teruk akibat wabak COVID-19.

Selain itu, umat Islam turut diseru untuk bersama-sama memperbaiki hubungan persaudaraan.

Sebelum berangkat pulang, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah.

Pasangan Seri Paduka kemudian berangkat meninggalkan masjid pada jam 9.15 pagi, diikuti Ismail Sabri dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri. – BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat hadir diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat hadir diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X