Isnin, 2 Mei 2022 | 7:24am

Kaunter zakat diserbu

KUALA TERENGGANU: Pengumuman tarikh sambutan Aidilfitri malam tadi mencetuskan suasana panik apabila kaunter kutipan zakat menjadi tumpuan umat Islam di negeri ini.

Tinjauan di kaunter kutipan zakat di beberapa masjid utama sekitar bandar raya Kuala Terengganu mendapati umat Islam beratur panjang untuk menunaikan zakat fitrah sebaik tarikh perayaan Aidilfitri diumumkan.

Umat Islam yang ke masjid yang awalnya untuk menunaikan solat Tarawih menyerbu kaunter kutipan zakat sebaik takbir raya selesai dilaungkan.

Tinjauan mendapati hampir 200 orang berbaris panjang untuk membayar zakat fitrah di lima kaunter yang dibuka di ruang khas Masjid Al-Muktafi Billah Shah.

Embong Jusoh, 56, dari Kampung Ladang, berkata dia terus ke kaunter disediakan di ruang khas di masjid itu untuk menjelaskan bayaran zakat selepas selesai takbir raya.

Malam tadi, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan tarikh Hari Raya Aidilfitri di seluruh negara adalah hari ini.

Berikutan pengumuman itu, suasana menjadi sedikit kelam kabut kerana umat Islam menganggap lebaran bakal disambut esok.

Sementara itu, tinjauan di Masjid Abidin juga mendapati lebih 500 kalangan umat Islam menyerbu kaunter zakat untuk menjelaskan bayaran sehingga berlaku sedikit kesesakan lalu lintas.

Kesesakan berlaku disebabkan ada yang meletakkan kenderaan di bahu jalan untuk masuk ke pekarangan masjid bagi menjelaskan zakat fitrah.

Bagaimanapun, suasana kelam kabut dapat dikawal sepenuhnya ahli jawatankuasa masjid.

Jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu beratur panjang untuk menunaikan zakat fitrah sebaik tarikh sambutan Aidilfitri diumumkan malam tadi. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Jemaah Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu beratur panjang untuk menunaikan zakat fitrah sebaik tarikh sambutan Aidilfitri diumumkan malam tadi. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Berita Harian X