Ahad, 1 Mei 2022 | 8:28pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

JAWI umum kelonggaran baharu ke masjid, surau

KUALA LUMPUR: Beberapa kelonggaran terbaharu diperuntukkan di semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan, berkuat kuasa esok.

Ia merangkumi pemansuhan penggunaan sejadah sendiri, kemasukan tanpa mengira status vaksin dan kebenaran bersalaman antara jemaah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail, ketika mengumumkan perkara itu berkata ia susulan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti diumumkan kerajaan.

"Antara kelonggaran yang akan berkuat kuasa esok ialah pemansuhan daftar masuk ke masjid dan surau dengan mengimbas kod MySejahtera.

"Penggunaan sejadah sendiri dimansuhkan. Penjarakan fizikal antara jemaah dimansuhkan dalam semua keadaan di masjid dan surau.

"Kemasukan ke masjid dan surau dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi kecuali jemaah yang berstatus 'berisiko tinggi' atau di bawah Perintah Pengawasan di Rumah (HSO).

"Pemakaian pelitup muka diwajibkan di dalam masjid dan surau yang tertutup. Manakala pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di kawasan terbuka, di luar masjid dan surau," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib menjelaskan kelonggaran lain ialah kebenaran mengadakan jamuan di masjid dan surau dengan apa-apa cara penyediaan makanan, selain jemaah boleh bersalaman.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan jemaah untuk tidak menyentuh muka selepas bersalaman dan perlu sentiasa mencuci tangan.

"Aktiviti ziarah dan takbir raya dari rumah ke rumah anjuran masjid dan surau dibenarkan.

"Semoga dengan kelonggaran SOP ini, lebih ramai umat Islam dapat hadir mengimarahkan masjid dan surau di kariah masing-masing serta mengekalkan momentum ibadah Ramadan menjelang Syawal yang bakal tiba," katanya.

Berita Harian X