Sabtu, 30 April 2022 | 3:28pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto NSTP/Fathil Asri
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. - Foto NSTP/Fathil Asri

KPDNHEP gerakkan penguatkuasan, buat semakan di premis

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited untuk menggerakkan penguatkuasanya untuk menjalankan semakan secara rawak di premis selaras dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata sekiranya didapati status pekerja atau pengunjung di premis berkenaan berisiko tinggi seperti positif COVID-19 atau sedang menjalani Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO), tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Justeru, KPDNHEP menyarankan supaya semua pihak dapat bersatu dan bersama supaya fasa peralihan endemik ini berjalan lancar dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan bermula 1 Mei ini, kerajaan membenarkan kemasukan individu ke premis tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Bagaimanapun, Khairy memaklumkan individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis merangkumi mereka yang positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.

Selain itu, mereka yang sedang menjalani tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai kelonggaran SOP berkenaan, Alexander berkata kelonggaran itu membolehkan sektor peruncitan dan pengguna 'kembali bernafas' selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

"Seperti yang kita sedia maklum, sumbangan sektor peruncitan ini adalah sangat signifikan kepada pemulihan ekonomi negara. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang terkini, prestasi Sektor Perdagangan dan Pengedaran bagi bulan Februari lalu merekodkan nilai jualan berjumlah RM48.8 billion iaitu pertumbuhan sebanyak 10.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Dengan kelonggaran yang diumumkan ini, pencapaian ini dijangka dapat dipertingkatkan lagi dengan kerjasama semua pihak khususnya tanggungjawab pemain industri peruncitan dan rakyat Malaysia dalam memastikan ekosistem perniagaan selamat daripada penularan jangkitan COVID-19.

"Ini juga secara langsung menyokong usaha pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan oleh KPDNHEP melalui pelbagai inisiatif di bawah sektor perdagangan pengedaran.

"Ia termasuklah sektor peruncitan dengan berteraskan konsep 3R iaitu Recovery (pemulihan), Revive (menghidupkan semula) dan Revitalise (merancakkan) yang dijangka dapat menyumbang kepada sasaran nilai jualan sebanyak RM500 billion menjelang akhir tahun ini," katanya.

Berita Harian X