Jumaat, 29 April 2022 | 5:21pm

Solat Subuh 40 hari tanpa gagal dapat hadiah basikal

KOTA BHARU: Seramai 18 kanak-kanak dan remaja di Kampung Patek, Kadok, di sini, tersenyum girang apabila menerima hadiah basikal hari ini.

Selepas 40 hari 'bangun awal' menunaikan solat Subuh di Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek, mereka akhirnya disahkan lulus dan layak mendapat basikal setiap orang selain duit raya dan sijil daripada pengurusan masjid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok, Datuk Azami Mohd Noor, berkata program julung kali dianjurkan pihak masjid itu bermula pada 20 Mac dan berakhir semalam.

"Selama 40 hari kanak-kanak dan remaja yang menyertai program ini akan dicatat nama mereka oleh siak masjid bagi menandakan kehadiran mereka secara berterusan.

"Program ini bertujuan mengimarahkan masjid selain mengekalkan solat lima waktu dalam kalangan anak muda yang dilihat semakin ramai yang lalai dengan aktiviti sosial lain.

"Insya Allah, selepas ini kita akan teruskan dengan galakan solat Subuh berjemaah ini dan sebagai ganjaran, kanak-kanak serta remaja yang singgah ke masjid untuk berjemaah sebelum ke sekolah akan diberikan wang saku serta bekal sarapan," katanya ketika ditemui hari ini.

Azami berkata, semua 18 basikal bernilai kira-kira RM2,400 itu menggunakan peruntukan tabung kemakmuran masjid berkenaan.

Sementara itu, pasangan kembar, Muhammad Arfan Arif Azri dan Muhammad Irfan Amir, 12, berkata cabaran itu disahut tanpa rasa beban kerana boleh dikatakan setiap hari mereka ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

Muhammad Arfan berkata, dia bersama kembarnya serta seorang lagi rakan akan berjalan kaki lima kali sehari sebaik masuknya waktu solat.

"Memang sudah biasa datang berjemaah di masjid dan untuk solat Subuh pula, selepas bersahur kami segera bersiap malah tidak pernah rasa mengantuk dan malas," kata murid Sekolah Kebangsaan Kedai Piah itu.

Jemaah paling muda, Syah Akil Daniel Sharizal, 9, berkata dia sangat teruja menerima hadiah basikal baharu yang sudah lama diidamkan.

"Sebaik mengetahui ada cabaran menawarkan hadiah basikal, saya dan abang, Syah Akid Daniel, 12, teruja dan cuba tidak ponteng solat Subuh berjemaah di masjid.

"Walau rasa agak mengantuk ketika bangun bersahur, kami gagahkan diri bersama ayah datang ke masjid dan hari ini kami berdua dapat hadiah basikal," katanya.

Seramai 18 kanak-kanak dan remaja berusia sembilan hingga 18 tahun teruja menerima hadiah basikal, duit raya dan sijil selepas 40 hari menunaikan solat Subuh di Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Seramai 18 kanak-kanak dan remaja berusia sembilan hingga 18 tahun teruja menerima hadiah basikal, duit raya dan sijil selepas 40 hari menunaikan solat Subuh di Masjid Ar-Rasyidin Mukim Kerak-Patek. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X