Khamis, 28 April 2022 | 10:51pm
 Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodit, Datuk Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodit, Datuk Zuraida Kamaruddin

Malaysia dapat penuhi permintaan global minyak sawit

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kekal yakin Malaysia masih mampu membekalkan permintaan global bagi minyak sawit berikutan larangan Indonesia terhadap eksport komoditi itu bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata industri tempatan boleh meningkatkan pengeluaran dan produktiviti minyak sawit kerana pintu sempadan sudah dibuka semula dan buruh asing mula masuk secara beransur-ansur.

"Kementerian juga meneruskan program biodiesel minyak sawit B20, sekarang kita berusaha meneruskan penggunaan biodiesel," katanya pada majlis penyampaian sumbangan Seminar Pendidikan pasca pandemik daripada Yayasan Margma dengan kerjasama KPKK di sini, hari ini.

Semala, Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto mengumumkan larangan eksport semua produk minyak sawit mulai hari ini.

Produk itu ialah minyak sawit mentah, minyak sawit merah; olein sawit yang ditapis, diluntur, dinyahbau (RBD); efluen kilang sawit (POME) dan minyak masak terpakai untuk memastikan ia dapat memenuhi keperluan domestik dalam persekitaran kenaikan harga.

Sementara itu, Zuraida berkata, kementerian akan bertemu Kesatuan Eropah (EU) pada 8 Mei ini untuk membincangkan isu berkaitan buruh paksa dan isu minyak sawit, namun ia masih belum mendapat tarikh untuk berjumpa wakil daripada Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

Mengulas mengenai pasaran getah, beliau meluahkan keyakinan permintaan terhadap sarung tangan getah akan kekal tinggi memandangkan masyarakat ketika ini mengutamakan kebersihan dengan menggunakan sarung tangan getah secara berterusan.

Pada masa yang sama, pemain industri juga harus memastikan pasaran getah mengekalkan kedudukan terbesar di seluruh dunia dan memastikan pengeluaran dan kualiti kekal kukuh dengan pengurusan yang berkesan.

"Kita menghasilkan kira-kira 350 bilion keping sarung tangan getah untuk pasaran global dan kita harus melindungi industri ini serta memastikan ia berjalan cekap daripada segi teknologi dengan sistem automasi yang canggih sambil mempunyai bekalan lateks mencukupi.

"Ini kerana kita melihat China mampu membina kemudahan pengeluaran sarung tangan yang besar hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas pandemik COVID-19 dan kita mesti memastikan Malaysia kekal sebagai pengeluar terbesar di seluruh dunia," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X