Khamis, 28 April 2022 | 11:12am
Mohd Anuar Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy
Mohd Anuar Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy

Sapura Energy komited selesai bayaran tertunggak kepada vendor

Datuk Mohd Anuar Taib mengambil alih pucuk pimpinan Sapura Energy ketika syarikat minyak dan gas itu melalui tempoh sukar pada 23 Mac 2021, menggantikan Tan Sri Shahril Shamsuddin yang bersara sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Tanggungjawab utama beliau adalah memulihkan syarikat itu daripada kemelut kewangan dengan tanggungan hutang kira-kira RM10.3 bilion. Ikuti temu bual Wartawan BH, Kamarulzaidi Kamis dan Mahanum Abdul Aziz bersama Mohd Anuar bagi mengetahui kedudukan perniagaan Sapura Energy dan rancangan pemulihannya.

Soalan: Apakah punca kerugian dialami Sapura Energy?

Jawapan: Kekangan kewangan yang dialami Sapura Energy berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya, tahap hutang yang membebankan, kontrak yang diterima dengan syarat yang memihak kepada pelanggan, jumlah bayaran tertunggak kepada vendor yang tinggi dan isu operasi yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

Sejak harga minyak jatuh merudum pada 2014, syarikat telah mengecilkan jumlah pelaburan dan mengurangkan jumlah projek baharu. Akibatnya industri perkhidmatan minyak dan gas menghadapi persaingan pasaran yang amat sengit. Syarikat yang bersaing ada kalanya sanggup menerima kontrak dengan syarat sangat memihak kepada pelanggan, berisiko tinggi serta margin keuntungan sangat tipis. Hal yang sama dialami gergasi antarabangsa lain seperti McDermott, Seadrill dan Saipem.

Sebahagian syarikat itu melalui penstrukturan semula, sama seperti Sapura Energy. Keadaan pasaran yang sukar ini belum pulih sepenuhnya, walaupun harga minyak kini melambung tinggi. Malah, industri minyak dan gas kini berhadapan isu kekurangan pelaburan yang kronik.

Soalan: Sejauh mana pandemik COVID-19 menjejaskan perniagaan Sapura Energy?

Jawapan: Keadaan menjadi semakin memburuk dengan penularan COVID-19. Sapura Energy perlu mengeluarkan dulu perbelanjaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP), seperti kos perubatan, kuarantin dan kos siaga. Setakat ini, jumlah perbelanjaan berkaitan COVID-19 telah meningkat kepada hampir RM600 juta.

Hampir keseluruhan tuntutan berkaitan dengan COVID-19 masih belum dibayar balik oleh pelanggan kami. Kami juga terkesan kerana harus menanggung kos tidak langsung, seperti kenaikan perbelanjaan akibat kelewatan jadual projek dan kesulitan bekalan barangan, yang dijangka jauh lebih tinggi daripada kos langsung. Semua faktor ini mengakibatkan kerugian besar dalam beberapa projek. Keadaan menjadi lebih teruk apabila pihak bank menggantung kemudahan modal kerja sejak Oktober 2021. Ini memaksa kami melaksanakan operasi sedia ada dengan sumber dana dalaman yang tidak cukup untuk menampung pembayaran kepada vendor.

Soalan: Bagaimana Skim Pengaturan (SOA) dan Perintah Penyekatan (RO) diumumkan baru-baru ini boleh membantu memulihkan perniagaan Sapura Energy?

Jawapan: Skim Pengaturan atau SOA adalah ikhtiar kami untuk memastikan hutang dan bayaran tertunggak kepada pemiutang dapat diselesaikan secara saksama.

SOA adalah proses undang-undang yang diperoleh melalui perintah mahkamah bagi membenarkan Sapura Energy menyusun semula hutang melalui rundingan dan persetujuan pemiutang.

Seiring perintah berkenaan, mahkamah juga mengeluarkan Perintah Penyekatan (RO) untuk menyekat tindakan undang-undang mana-mana pihak terhadap Sapura Energy. Ia bertujuan memastikan rundingan dengan pihak pemiutang dapat berjalan lancar. Sebaik saja menerima kedua-dua perintah mahkamah, Sapura Energy memberikan penerangan terperinci kepada semua pemiutang, termasuk vendor.

Di samping itu, kami mengadakan siri taklimat bagi menjelaskan proses SOA dan hak mereka berkaitan perkara itu.

Soalan: Difahamkan bank menyokong langkah Sapura Energy melaksanakan proses SOA. Kenapa sokongan bank begitu penting untuk Sapura Energy?

Jawapan: Semua bank peminjam bersetuju memberikan standstill atau moratorium sepanjang perintah RO dan ini membolehkan kami melaksanakan proses SOA dengan lancar.

Tanpa sokongan mereka, agak sukar untuk kami mencari penyelesaian yang kukuh. Pada masa ini, kami masih berunding dengan bank peminjam untuk mengurangkan beban hutang yang ditanggung syarikat.

Mengikut penelitian penganalisis industri, Sapura Energy menyumbang kira-kira RM800 juta kepada ekonomi negara setiap tahun, selain perbelanjaan sebanyak kira-kira RM1.6 bilion kepada syarikat pembekal tempatan. Sejak sedekad yang lalu, Sapura Energy membawa masuk lebih RM15 bilion nilai mata wang asing ke dalam negara.

Selain itu, lebih 8,000 warga kerja Sapura Energy, yang majoritinya rakyat Malaysia, bergantung harap kepada kami.

Ini tidak termasuk anggaran 20,000 tenaga kerja yang diupah subkontraktor tempatan. Warga kerja Sapura Energy adalah modal insan pelbagai latar belakang dan berkepakaran tinggi. Lebih membanggakan, hampir 90 peratus adalah rakyat Malaysia dan ini aset sebenar Sapura Energy.

Soalan: Apa berlaku jika Sapura Energy dibenarkan muflis?

Jawapan: Mungkin ada yang berkata, apa yang istimewanya Sapura Energy? Biarlah mereka kecundang. Sebenarnya, keupayaan yang dibina Sapura Energy sukar diganti syarikat tempatan lain.

Sekiranya kami berhenti beroperasi, industri minyak dan gas negara akan hilang keupayaan dalam bidang pelaksanaan projek EPCIC (Kejuruteraan, Fabrikasi, Penggerudian, Pengangkutan dan Pemasangan Luar Pesisir serta Penyahtauliahan dan Pelupusan). Ini bukan saja akan melenyapkan sumbangan Sapura Energy kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, tetapi ia juga mengurangkan peluang dan akses pasaran bagi syarikat vendor tempatan yang selama ini berkongsi rezeki apabila kami memenangi tender, sama ada di Malaysia atau pada peringkat antarabangsa.

Selain itu, syarikat pengeluar minyak dan gas di Malaysia harus berhadapan kos pengeluaran lebih tinggi kerana terpaksa beralih kepada penyedia khidmat asing. Tanpa Sapura Energy, kos pengeluaran minyak dan gas dalam negara dianggarkan meningkat sehingga RM760 juta setahun.

Kesan jangka pendek ialah projek yang sedang dilaksanakan akan tergendala, membabitkan pengeluaran minyak dan gas dalam negara hampir 8,000 tong sehari. Atas dasar inilah, kami memohon budi bicara pihak bank peminjam untuk membantu menyusun semula hutang kami dan memastikan kelangsungan Sapura Energy. Pada 2014, kami diberi kemudahan pembiayaan pelbagai mata wang RM16.5 bilion.

Selepas pembiayaan semula dilaksanakan pada 2021, kami masih mempunyai baki hutang RM10.3 bilion, dengan kadar faedah lebih setengah bilion ringgit setahun. Sejak 2014, Sapura Energy sudah membayar balik lebih RM16.5 bilion kepada bank peminjam, dalam bentuk bayaran balik pokok, faedah dan yuran. Hutang setinggi itu adalah amat membebankan dan tidak mampu ditanggung Sapura Energy dalam jangka panjang.

Soalan: Bagaimana dengan nasib vendor apabila perniagaan Sapura Energy terjejas teruk?

Jawapan: Kami prihatin terhadap nasib vendor, terutama perniagaan kecil yang melalui kesulitan kerana kami lewat menjelaskan bayaran. Kami memohon maaf kepada vendor yang terkesan dan menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan mereka.

Sehubungan itu, kami akan berusaha keras untuk menyelesaikan masalah bayaran mereka yang kini tertunggak. Sebagai penjelasan, SOA yang digariskan dalam afidavit kami tempoh hari adalah cadangan awal kami. Ia digubal berdasarkan kedudukan kewangan kami ketika itu. Skim yang sebenar akan dimuktamadkan melalui undian pemiutang berdasarkan kesepakatan antara pihak kami dan vendor.

Soalan: Apakah rancangan Sapura Energy untuk membayar hutang kepada vendor?

Jawapan: Kami komited terhadap menyelesaikan masalah bayaran tertunggak kepada vendor. Walaupun kedudukan kewangan kami belum mantap pada masa ini, kami bertekad mengatasi masalah aliran tunai dihadapi.

Perniagaan Sapura Energy masih kukuh. Kami mempunyai kemampuan untuk meraih tender peringkat antarabangsa dan keupayaan ini terbukti dengan nilai tempahan kontrak kami yang mencecah RM8.1 bilion.

Kami juga berusaha memastikan setiap projek yang dilaksanakan mampu menjana aliran tunai dengan pembiayaan sendiri. Sehubungan itu, kerjasama daripada pihak vendor amat penting agar projek yang sedia ada dapat diteruskan. Dengan setiap fasa projek yang dijayakan, kami akan menerima bayaran daripada pelanggan dan seterusnya mampu membayar balik vendor.

Soalan: Selain SOA dan RO, apakah langkah lain untuk memulihkan Sapura Energy?

Jawapan: Kami berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan dengan mengurangkan aliran tunai dan membendung kerugian melalui rundingan semula kontrak yang dimenangi sebelum COVID-19 dan tidak mengambil kira kos berkaitan pandemik. Kami juga perlu mencari sumber dana baharu untuk modal kerja, memandangkan Sapura Energy masih mempunyai tempahan kontrak bernilai RM8.1 bilion.

Kami anggarkan keperluan modal kerja adalah RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion. Sapura Energy juga akan menjual beberapa aset dan perniagaan syarikat yang dianggap tidak lagi strategik berdasarkan pelan perniagaan kami. Ini seiring objektif kami untuk kekal fokus dan cekap. Kami akan menumpukan aktiviti syarikat kepada projek dan kontrak di Asia Pasifik dan Atlantik yang memaksimumkan penggunaan aset strategik itu.

Berita Harian X