Khamis, 28 April 2022 | 10:44am
Sapura Energy komited menyelesaikan masalah bayaran tertunggak. - Foto hiasan
Sapura Energy komited menyelesaikan masalah bayaran tertunggak. - Foto hiasan

Sapura Energy tak perlukan 'penyelamat'

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd yang sedang mengharungi tempoh getir susulan kemelut hutang ekoran ketidaktentuan industri minyak dan gas serta kesan pandemik COVID-19 yakin dengan pelan penyelesaiannya sendiri untuk memulihkan syarikat itu tanpa mencari jalan mudah, termasuk 'bail out' oleh mana-mana pihak.

Sapura Energy yang ketika ini menanggung hutang lebih RM10 bilion amat komited untuk melaksanakan penyelesaian secara menyeluruh melalui Pelan Reset yang dirangka untuk memulihkan syarikat itu, meskipun ia dijangka amat mencabar.

Dengan prestasi industri minyak dan gas global yang ketika ini dilihat semakin bertambah baik, Sapura Energy ingin merebut peluang untuk memulihkan keadaannya. Ini termasuk langkah penyusunan semula hutangnya dan penambahbaikan syarikat dari segi operasi seperti yang digariskan dalam Pelan Resetnya.

Dalam temu bual eksklusif bersama BH baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Anuar Taib menegaskan pihaknya amat komited untuk melaksanakan pelan penyelesaian itu, termasuk menstruktur semula hutangnya secara menyeluruh tanpa mengambil jalan mudah.

Katanya, antara pelan itu termasuk Skim Pengaturan (SOA) sebagai ikhtiar Sapura Energy untuk memastikan hutang dan bayaran tertunggak kepada pemiutang dapat diselesaikan secara saksama dan teratur.

SOA adalah proses undang-undang yang diperoleh melalui perintah mahkamah bagi membenarkan Sapura Energy menyusun semula hutangnya melalui rundingan dan persetujuan pemiutang.

Tambahnya, selain SOA, mahkamah juga mengeluarkan Perintah Penyekatan (RO) untuk menghentikan atau menyekat sebarang tindakan undang-undang oleh mana-mana pihak terhadap Sapura Energy bagi memastikan rundingan dengan pemiutang berjalan lancar tanpa menjejaskan operasi syarikat.

Datuk Anuar Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy.
Datuk Anuar Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy.

"Apa yang kami perlukan ialah sokongan dan bantuan untuk menjayakan Pelan Reset kami. Jika Sapura Energy berjaya dipulihkan, ia akan memanfaatkan semua pemegang taruh dan mendukung ekonomi negara," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Pelan Reset Sapura Energy, Anuar berkata, matlamat Pelan Reset ialah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dengan mengurangkan beban hutang dan memperbaiki aliran tunai.

Beliau menjelaskan, pelan itu juga bertujuan menyelaraskan model operasi dan memastikannya bersedia untuk menghadapi peralihan tenaga melalui pertumbuhan strategik.

Katanya, pelan berkenaan sedang dilaksanakan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan di bawah kelolaan Lembaga Pengarah.

"Keutamaan syarikat sekarang ialah untuk mengharungi 2022. Kami mahu memastikan Sapura Energy dapat beroperasi dengan kedudukan kewangan yang stabil sebelum mampu bangkit semula. Inilah sebabnya skim SOA itu amat penting bagi kami, kerana ia adalah mekanisma yang akan membantu kami menyelesaikan masalah bayaran tertunggak kepada vendor dan mengurangkan beban hutang bank.

"Selain skim SOA, kami juga berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan dengan mengurangkan aliran tunai dan membendung kerugian melalui rundingan semula kontrak yang dimenangi sebelum COVID-19," katanya.

Selain itu, Anuar berkata, Sapura Energy juga perlu mencari sumber dana baharu untuk modal kerjanya, memandangkan ia masih mempunyai tempahan kontrak bernilai RM8.1 bilion.

Beliau menganggarkan keperluan modal kerja antara RM1.5 bilion hingga RM1.8 bilion untuk tempoh jangka pendek.

Katanya, Sapura Energy juga akan menjual beberapa aset dan perniagaan syarikat yang dianggap tidak lagi strategik berdasarkan pelan perniagaannya, yang mana ia sejajar dengan objektif syarikat untuk kekal fokus dan cekap.

Katanya, Sapura Energy juga akan menumpukan aktiviti syarikat kepada projek dan kontrak di Asia Pasifik dan Atlantik untuk memaksimumkan penggunaan aset strategik itu.

"Selain itu, kami juga menambah baik cara kami beroperasi bagi mengurangkan risiko dan mempertahankan margin keuntungan dalam projek yang kami laksanakan. Kami berpegang kepada prinsip - 'Bida dengan tepat, laksana dengan disiplin'.

"Ini bermula dengan memperhalusi proses pembidaan. Penyertaan tender hanya akan dilakukan selepas kami meneliti pengurusan risiko yang sesuai dengan kewajaran dan daya saing Sapura Energy.

"Pada masa sama, kami mengetatkan disiplin dalam pelaksanaan projek, bagi memastikan kontrak yang diamanahkan oleh pelanggan kami dilaksanakan dengan selamat, cekap dan berkesan," katanya.

Menurut laporan sebelum ini, Sapura Energy dibebani hutang berjumlah RM10.3 bilion menerusi pinjaman daripada sembilan bank, selain berhutang RM1.5 bilion kepada kira-kira 3,000 vendor.

Isu Sapura Energy turut menjadi isu politik sejak kebelakangan ini apabila ada pemimpin meminta kerajaan menerusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) campur tangan membantu memulihkan syarikat itu dengan suntikan dana.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan melindungi Sapura Energy daripada muflis dengan memberi pinjaman atau mengarahkan PETRONAS atau Khazanah Nasional mengambil alih pemilikan daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menguasai 50 peratus syarikat berkenaan.

Najib dilaporkan berkata, jika Sapura Energy muflis, 10.6 juta pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan mengalami kerugian langsung RM4 bilion, manakala PNB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan kumpulan wang simpanan lain akan menghadapi kerugian tidak langsung akibat hutang RM10 bilion yang ditanggung syarikat itu.

Najib juga berkata, hampir 10,000 pekerja hilang pekerjaan dan kira-kira 4,500 vendor atau pembekal akan terjejas.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak cadangan Najib atas alasan tidak adil membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan.

Lebih-lebih lagi katanya, sejumlah wang yang besar melebihi berbilion ringgit sudah pun disuntik ke dalam Sapura Energy sejak lebih sedekad lalu.

Susulan polemik isu 'bail out' itu, Najib dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan debat terbuka pada 12 Mei ini. Debat di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) itu dijangka diadakan selama dua jam mulai jam 9 malam dan boleh disaksikan secara fizikal atau melalui saluran media.

Berita Harian X