Selasa, 26 April 2022 | 8:05am
Foto hiasan. - Foto fail NSTP
Foto hiasan. - Foto fail NSTP

Pengembara antarabangsa diberi pilihan ujian COVID-19 sebelum masuk Sabah

KOTA KINABALU: Pengembara antarabangsa bagi penerbangan transit yang memasuki Sabah diberi pilihan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum atau ketika ketibaan dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam satu kenyataan semalam, berkata kebenaran itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, kebenaran itu hanya tertakluk untuk ujian pengesanan COVID-19 RTK -Antigen yang dilakukan oleh anggota kesihatan terlatih.

"Pengembara antarabangsa transit di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia di luar negeri Sabah dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Sabah dan diberi pilihan untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 RTK-Antigen semasa ketibaan atau di luar Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dalam tempoh 24 jam," katanya.

Beliau berkata, kebenaran terbabit juga tertakluk untuk pengembaran antarabangsa transit melalui Singapura yang tiba di PMA Sabah.

Dalam perkembangan lain, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan sebanyak dua angka.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini (semalam) adalah sebanyak 48 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 370,539 kes dan tiada sebarang kes kematian.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 342 menjadikan jumlah kumulatif 360,849 orang manakala 194 pesakit

sedang menerima rawatan iaitu 194 orang di hospital," katanya.

Berita Harian X