Isnin, 25 April 2022 | 10:25pm
Penghuni Flat Seri Perak, Hisyam Majid menunjukkan kerosakan lif di Flat Seri Perak Sentul. - NSTP /ROHANIS SHUKRI.
Penghuni Flat Seri Perak, Hisyam Majid menunjukkan kerosakan lif di Flat Seri Perak Sentul. - NSTP /ROHANIS SHUKRI.

Ganti, naik taraf lif PPR secara berperingkat

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penggantian dan menaik taraf 306 unit lif di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap dalam dua tahun.

Menurut kenyataan DBKL yang dikeluarkan hari ini, kerja-kerja penggantian dan menaik taraf lif dalam lima fasa itu membabitkan kos RM169.6 juta.

Fasa 1 penggantian dan menaik taraf lif membabitkan 12 kawasan perumahan iaitu PA Seri Kota, PA Seri Sabah 3A, PA Seri Sabah 3B, PPR Desa Petaling, PPR Salak Selatan, PPR Seri Anggerik, PPR Sungai Bonus, PA Hang Tuah, PA Loke Yew, PA Seri Selangor, PPR Bukit Jalil 1 dan PPR Bukit Jalil 2.

"Keseluruhan penggantian lif adalah 104 unit dan dijangka siap sepenuhnya penghujung 2022," katanya.

Fasa 2 membabitkan 109 unit di 10 kawasan merangkumi PPR Raya Permai, PPR Seri Malaysia, PA Seri Perak, PPR Seri Alam, PA Kerinci 1A, PPR Kerinci, PPR Seri Cempaka, PPR Kampung Muhibah, PPR Semarak dan PA Seri Tioman.

"Bagi proses penggantian lif di PA Seri Perak, satu mesyuarat prapenyerahan tapak kepada syarikat yang berjaya diadakan bagi membolehkan kerja-kerja dimulakan pada 1 Julai depan dan dijangka siap pada Oktober 2023," katanya.

Fasa 3 membabitkan 18 unit lif di PPR Desa Tun Razak dan PA Seri Sarawak, manakala 48 unit lif akan dinaik taraf dan diganti di PPR Batu Muda, PPR Laksamana, PPR Perkasa dan PPR Pekan Kepong pada Fasa 4.

Fasa 5 membabitkan tiga kawasan iaitu PPR Bukit Jalil (Blok L,M,G & H), PA Seri Terengganu dan Seri Pangkor (1 & 2) dengan 27 unit lif untuk penggantian.

DBKL berkata, sebelum kerja-kerja penggantian lif baharu dimulakan, penyelenggaraan berkala serta pemantauan lif sentiasa dilaksanakan oleh kontraktor sedia ada di tapak yang juga bertanggungjawab sekiranya lif mengalami kerosakan. – BERNAMA

Berita Harian X