Isnin, 25 April 2022 | 3:37pm

Jurulatih renang antara 4 ditahan seludup, edar syabu RM10.3 juta

KUALA LUMPUR: Jurulatih renang adalah antara empat individu yang ditahan bersama 287 kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta dalam serbuan di Selangor dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Semua suspek lelaki berusia 25 hingga 29 tahun itu ditahan menerusi empat serbuan berasingan bermula jam 1.40 petang Jumaat hingga 12.30 pagi Sabtu lalu, dengan dua ditahan di Puchong, Selangor, manakala dua lagi di Johor Bahru, Johor.

Tangkapan dan rampasan adalah hasil siasatan dan risikan bersama antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Selangor serta JSJN Johor dan semua dadah ditemui disimpan dalam dua kondominium di sekitar Selangor.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sindiket ini dipercayai menyeludup masuk dadah dari negara jiran melalui jalan laut di utara tanah air sebelum transit di Lembah Klang.

"Dadah berkenaan kemudian akan dibawa ke Johor dan ia kemudian akan diseludup keluar dengan menggunakan kapal laut ke negara jiran terutama ke Indonesia menggunakan kapal laut.

"Sindiket dikesan aktif sejak Januari lalu dan bekalan dadah turut diedarkan untuk pasaran tempatan di Selangor dan Johor," katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Sebahagian barangan rampasan dipamerkan pada sidang media khas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengenai kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah serta merampas 287 kilogram dadah jenis syabu yang bernilai RM10.3 juta di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - fotoBERNAMA

Dalam pada itu, katanya polis turut menyita pelbagai aset sindiket antaranya tiga kenderaan bernilai RM168,000 dan wang tunai RM5,000 dengan nilai keseluruhan dan sitaan harta berjumlah RM10.5 juta.

Siasatan mendapati dalang utama sindiket ini adalah seorang jurulatih renang berusia 25 tahun yang ditahan bersama suspek kedua, seorang penganggur berusia 29 tahun dalam serbuan di Puchong.

"Semakan mendapati dalang utama tiada rekod jenayah, namun tiga lagi suspek mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah.

"Keputusan ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek didapati negatif dan mereka kini direman lima hingga tujuh hari bermula Sabtu lalu," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan keseluruhan 287 kg dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh 1.43 juta orang penagih.

Ayob Khan menunjukkan barang rampasan pada sidang media khas kejayaan menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah serta merampas 287 kilogram dadah jenis syabu yang bernilai RM10.3 juta di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - foto BERNAMA

Berita Harian X