Isnin, 25 April 2022 | 7:39am
Tangkap layar daripada siaran TikTok secara langsung oleh seorang pegawai polis wanita ketika melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan yang mengundang kecaman.
Tangkap layar daripada siaran TikTok secara langsung oleh seorang pegawai polis wanita ketika melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan yang mengundang kecaman.

TikTok ketika serbuan: JIPS diarah siasat ASP wanita

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) diarah menyiasat mengenai video yang tular di media sosial mengenai siaran langsung oleh seorang pegawai polis wanita yang didakwa dilakukan sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, yang turut mengesahkan pihaknya kini sedang meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.

"Saya sudah arahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi itu.

"Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu," katanya.

Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.

Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.

Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.

"JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya," katanya.

Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

Berita Harian X