Sabtu, 23 April 2022 | 11:54pm
Idris beramah mesra dengan seorang kanak-kanak pada Majlis Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Sumbangan Aidilfitri 1443H anjuran YaPEIM di Kampung Sungai Petai, hari ini. - FOTO BERNAMA
Idris beramah mesra dengan seorang kanak-kanak pada Majlis Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Sumbangan Aidilfitri 1443H anjuran YaPEIM di Kampung Sungai Petai, hari ini. - FOTO BERNAMA

Siasat laman sosial tawar pakej taubat RM20 - Idris

BUKIT GANTANG: Jabatan Agama Islam Negeri diminta menyiasat kemunculan laman sosial yang didakwa menawarkan pakej taubat dengan bayaran RM20.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata siasatan itu perlu bagi mengesan mereka yang didakwa terbabit pakej berkenaan, untuk diambil tindakan.

"Hendak bertaubat kena bayar duit, ini adalah tidak betul. Jika tidak mempunyai ilmu, kita mudah ditipu orang lain.

"Allah suruh kita mengajar dan belajar menjadi orang berilmu. Ini kerana dengan adanya ilmu, kita tidak mudah ditipu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sumbangan Inspirasi Qaseh Ramadan dan Aidilfitri 1443H Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada 70 anak yatim di Kampung Sungai Petai, Changkat Jering, di sini, hari ini.

Beliau mengulas penyebaran iklan dalam laman media sosial mengenai pakej sesiapa yang ingin bertaubat dikenakan bayaran RM20.

Dalam pada itu, Idris menggesa agensi bawah kementeriannya seperti YaPEIM, agar menyantuni golongan miskin dan tidak hanya menunggu di pejabat.

"Kita meminta semua pegawai agensi yang terbabit dengan masyarakat, supaya pergi mencari mereka. Biarlah kita sendiri yang pergi menyantuni mereka," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga memutuskan untuk membentuk sebuah jawatankuasa bagi membantu golongan rentan.

"Jawatankuasa itu juga mempunyai pelan tindakan bersama agensi lain supaya pengisian khidmat berkenaan, diberikan kepada mereka yang tinggal di situ, termasuk yang terbabit dengan pusat pemeliharaan kanak-kanak," katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan, khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya, wanita dan warga emas.

Idris memaklumkan, Tabung Amanah YaPEIM telah membuat agihan dana sebanyak RM655.91 juta yang memanfaatkan 6.59 juta penerima sejak 1985 hingga 31 Mac tahun ini. – BERNAMA

Berita Harian X