Jumaat, 22 April 2022 | 11:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama anak angkatnya Nur Qurratu Ain Nabilah Benyajeed, 5, (dua, kanan), kakaknya Nur Rawdhah Nabilah Benyajeed, 9, (dua, kiri) dan Nazurah Nabilah Benyajeed, 20, pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kepimpinan Sayap Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian seluruh negara di kediaman rasminya Seri Perdana, malam ini. - Foto BERNAMA

Ismail Sabri, anak angkat berbuka puasa bersama

PUTRAJAYA: Lapan beradik yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa akibat COVID-19, cukup teruja dapat berjumpa dan berbuka puasa bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman rasmi Perdana Menteri di sini, hari ini.

Mereka yang juga anak angkat Ismail Sabri adalah jemputan istimewa untuk bersama berbuka puasa di Seri Perdana hari ini, sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian.

Ketua keluarga lapan beradik itu, Benyajeed Bernie, meninggal dunia pada 16 Julai 2021 akibat COVID-19, manakala isterinya Noraini Ibrahim meninggal dunia dua hari kemudian.

Pada 22 Julai 2021, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan ketika itu, menyantuni lapan beradik berumur lingkungan empat hingga 19 tahun berkenaan di Rawang.

Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Pertahanan bersetuju mengambil mereka sebagai anak angkat kepada Boustead Holdings Bhd, anak syarikat di bawah kementerian itu.

Anak sulung pasangan berkenaan, Nazurah Nabilah Benyajeed, 20, ketika ditemui pada majlis berkenaan meluahkan rasa terharu atas keprihatinan kerajaan khususnya Ismail Sabri terhadap kebajikan keluarganya, yang disifatkan bagai 'sudah jatuh ditimpa tangga'.

"Ketika kehilangan ibu bapa, memang rasa 'kabur' tak tahu nak buat apa. Tapi syukur Alhamdulillah, banyak agensi mengambil berat mengenai situasi kami dan amat terhutang budi atas segala bantuan yang dihulurkan setakat ini," kata pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak itu.

Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri turut beramah mesra dengan semua anak angkatnya dan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada mereka. – BERNAMA

Berita Harian X