Jumaat, 22 April 2022 | 10:01am
Penyakit HFMD
Penyakit HFMD

Lebih 4,000 kes HFMD direkodkan di Selangor

SHAH ALAM: Sejumlah 4,383 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Selangor setakat ini dengan bilangan kes mingguan melebihi kes yang dilaporkan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman, berkata terdapat 103 kluster HFMD dilaporkan membabitkan 497 kes dengan 95 peratus daripadanya kluster di taska, tadika dan pusat jagaan harian.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kematian dilaporkan setakat ini.

"Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackievirus A16 (CA16) dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak melalui kontak menerusi permukaan atau peralatan tercemar dengan air liur, cecair lepuh (blister) atau najis pesakit HFMD.

"Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki dan mulut serta hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam tempoh tujuh ke 10 hari.

"Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis dan bagi kes yang dilaporkan pada tahun ini, majoriti adalah jangkitan CA16 (33 peratus) dan EV 71 (20 peratus), manakala lain-lain (bukan CA16 dan bukan EV71) adalah 47 peratus," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berikutan trend peningkatan kes HFMD JKNS menggesa orang ramai, khususnya pengusaha serta penjaga kanak-kanak supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk

sentiasa memastikan kebersihan premis serta peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak.

"Selain itu, membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda jangkitan HFMD, mengamalkan kebersihan diri serta melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

"JKNS akan terus memantau situasi HFMD di negeri ini dan akan bekerjasama dengan jabatan serta agensi berkaitan dalam memastikan tindakan pencegahan dan kawalannya dapat dilaksanakan dengan segera bagi membendung penularan jangkitan," katanya.

Berita Harian X