Khamis, 21 April 2022 | 11:36am
 Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

LZS kutip RM256.9 juta zakat harta, fitrah sejak Januari 2022

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima sejumlah RM256.9 juta kutipan zakat harta dan fitrah sejak Januari berbanding RM188 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, berkata kutipan secara konvensional serta dalam talian itu meningkat antara lima ke 10 peratus sekali gus menunjukkan komitmen umat Islam dalam menunaikan kewajipan berzakat walaupun masih dikekang wabak COVID-19.

"Kaedah pembayaran zakat secara konvensional masih menjadi pilihan utama, mungkin kerana suasana yang berbeza dirasai apabila bertemu sendiri penolong amil fitrah.

"Dalam pada itu, kita dapat lihat peningkatan mendadak pembayaran zakat menerusi dalam talian juga kerana ia lebih mudah, selamat serta cepat.

"Bagaimanapun, LZS menggalakkan pembayar untuk menunaikan kewajipan masing-masing secara konvensional yang mana seramai 2,700 penolong amil fitrah dilantik untuk melaksanakan urusan kutipan zakat fitrah.

"Mereka ditempatkan di lokasi tumpuan orang ramai (pusat beli belah) serta di 400 masjid dan surau di seluruh negeri Selangor," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri 2022 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Sabirin berkata bagi zakat fitrah, sejumlah RM2.8 juta sudah dikutip sehingga 19 April lalu melalui saluran pembayaran dalam talian dan bagi saluran konvensional, jumlah kutipan akan diperolehi selepas Ramadan ini.

Katanya, LZS menyasarkan RM3.5 juta kutipan zakat fitrah diperolehi bagi semua saluran pembayaran sehingga akhir Ramadan ini," katanya.

Terdahulu, program berkenaan meraikan 100 anak yatim serta pelajar tahfiz dari tiga rumah iaitu Rohama Darul Fakir, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur serta Insitusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (Maahad Hahfiz Klang).

Program hasil kerjasama agensi berkenaan bersama Grab Malaysia yang juga salah sebuah syarikat yang menunaikan zakat pendapatan melalui potongan gaji dalam kalangan pemandu Grab pada tahun lalu.

Seorang pemandu grab yang juga muallaf sejak 2012, Niyaz Naathan Vellasamy, 45 memaklumkan dia menunaikan zakat selepas berasa diri mampu untuk berbuat sedemikian.

Niyaz adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) sejak kecil yang mana sebelum ini, dia juga adalah penerima zakat.

"Apabila sudah mampu, kita harus bayar zakat walaupun nilainya tidak besar tetapi lebih baik jadi insan yang memberi daripada yang menerima," katanya yang menjadi pemandu Grab sejak 2018.

Berita Harian X