X
Rabu, 20 April 2022 | 7:08pm
(Gambar fail) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
(Gambar fail) Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - NSTP/NUR AISYAH MAZALAN

Johor terus pantau, audit semua pusat jagaan kanak-kanak

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan terus memantau dan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tumpuan khas akan diberikan kepada pusat jagaan kanak-kanak istimewa.

"Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim). Kerajaan Johor memandang serius kes penderaan, keganasan atau eksploitasi kanak-kanak di mana-mana pusat jagaan kanak-kanak di Johor.

"Saya akan memastikan kerajaan negeri melalui JKM negeri memantau dan membuat audit ke atas semua pusat jagaan kanak-kanak di seluruh Johor," katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain yang terbabit, dapat memberi kerjasama penuh bagi memastikan semua pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini beroperasi secara sah, manakala kanak-kanak di pusat berkenaan dijaga dengan baik.

Semalam, Tunku Ismail berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan insiden penderaan seperti kes Bella, tidak lagi berulang.

Baginda melalui pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, di sini, bertitah mencadangkan kerajaan agar segera menambah baik undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

Kes Bella meraih perhatian masyarakat sejak tular dalam media sosial, tahun lalu, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah air panas dan diikat ketika berada bawah jagaan Rumah Bonda, iaitu sebuah rumah kebajikan NGO.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, antara Februari hingga Jun 2021. – BERNAMA

Berita Harian X