Rabu, 20 April 2022 | 12:09pm
Lebih 60 peratus peratus daripada peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini adalah berpaksikan kepada pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah yang menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk mengisinya. - Foto hiasan NSTP
Lebih 60 peratus peratus daripada peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini adalah berpaksikan kepada pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah yang menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk mengisinya. - Foto hiasan NSTP

Pekerjaan separa, tak mahir punca kebanjiran buruh asing

PUTRAJAYA: Lebih 60 peratus daripada peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini adalah berpaksikan kepada pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah yang menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja asing untuk mengisinya.

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, berkata faktor ekonomi negara yang berintensifkan buruh menyebabkan negara banyak bergantung kepada pekerja asing.

Kajian dibuat pasukannya mendapati 61 peratus pekerjaan yang diisi di negara ini adalah pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah yang mana ia sinonim dengan pekerja asing.

"Disebabkan negara banyak mencipta peluang pekerjaan ke arah itu, ia menjadi pilihan untuk diisi pekerja asing.

"Kebanyakan pekerjaan kategori separa mahir dan berkemahiran rendah membabitkan sektor pertanian, perlombongan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Ia juga menjawab persoalan mengapa banyak berlaku pengangguran dalam kalangan graduan... ini kerana hanya 39 peratus peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dicipta dalam negara ini," katanya kepada BH.

Dianggarkan, Malaysia kini mempunyai 2.2 juta pekerja asing yang berdaftar, manakala jumlah yang dikatakan memasuki negara secara tidak sah pula didakwa hampir dua kali ganda jumlah itu.

Daripada kira-kira 15 juta pekerja di Malaysia, hampir 15 peratus dikatakan adalah pekerja bukan warganegara.

Statistik juga menunjukkan peratus tertinggi pekerja bukan warganegara adalah kategori separuh mahir iaitu hampir 58 peratus, manakala pekerja berkemahiran rendah 36 peratus.

Sebahagian pekerja kilang menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. Seramai 30,000 pekerja sektor industri di daerah Kuala Muda termasuk warga asing mula menerima vaksin secara berperingkat mulai 26 Julai 2021. - Foto fail NSTP
Sebahagian pekerja kilang menunggu giliran pada Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di kilang Minebea Electronics Motor (M) Sdn Bhd. Seramai 30,000 pekerja sektor industri di daerah Kuala Muda termasuk warga asing mula menerima vaksin secara berperingkat mulai 26 Julai 2021. - Foto fail NSTP

Mohd Yusof berkata, berbeza dengan negara maju seperti Korea Selatan, Taiwan dan Jepun, peluang pekerjaan yang ditawarkan mereka lebih kepada pekerjaan berkemahiran tinggi menyebabkan ia banyak diisi warga tempatan.

Katanya, negara maju juga cenderung memfokuskan kepada satu sektor sahaja dalam pengambilan pekerja asing berbanding Malaysia yang bergantung kepada golongan itu dalam hampir keseluruhan sektor ekonomi.

"Kewujudan pekerja asing yang mengisi sektor pekerjaan di negara ini umpama sel kanser kerana ia berkembang dari satu sektor kepada sektor yang lain.

"Disebabkan 'budaya' ekonomi Malaysia yang banyak bergantung kepada pekerja asing, tenaga kerja itu masih diperlukan bagi mengelakkan berlaku gangguan kepada ekonomi jika dihentikan serta-merta.

"Ia boleh dilihat melalui kenaikan harga ayam di pasaran yang mana antara faktor kenaikannya ialah kerana penternak berdepan kekurangan pekerja asing di ladang ternakan," katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan hanya 6 sektor pekerjaan yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing iaitu pembinaan, perkilangan, perkhidmatan, perladangan, pertanian serta perlombongan/pengkuarian.

Kebergantungan kepada pekerja asing dijangka tidak akan berkurangan walaupun pandemik COVID-19 sejak dua tahun menyebabkan ramai daripada mereka pulang ke negara asal.

Ini berdasarkan kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, kelmarin yang berkata pihaknya menerima permintaan untuk lebih 519,000 pekerja asing sejak awal tahun ini.

Melangkah ke masa depan, Mohd Yusof berkata, negara perlu lebih bersifat terpilih bagi pengambilan pekerja asing dan hanya fokus terhadap sesuatu bidang yang kritikal sahaja.

Sebagai contoh, beliau berkata, dalam bidang perhotelan, negara boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan mengambil penuntut yang menjalani latihan.

Beliau berkata, struktur ekonomi yang lambat berubah sejak 1990-an menyebabkan negara masih bergantung kepada pekerja asing sedangkan banyak pelabur kini sudah berhijrah ke negara seperti Vietnam berikutan kosnya lebih rendah.

"Malaysia boleh mengikut sistem yang diamalkan negara maju seperti Korea Selatan di mana mereka sangat mengawal penggunaan tenaga kerja asing dengan memfokuskan kepada satu-satu bidang sahaja.

"Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan menaik taraf pekerjaan berkemahiran rendah kepada penggunaan automasi, yang akan kelihatan menarik bagi pekerja tempatan.

"Ini termasuklah penjenamaan semula pekerjaan, menyediakan uniform, insurans dan teknologi bagi sektor kerja yang tidak diminati pekerja tempatan seperti perikanan, penternakan dan perkhidmatan," katanya.

Mohd Yusof berkata, tahap kebergantungan kepada pekerja asing kekal pada magnitud hampir sama pada tahun 2010 dan 2019, yang secara tak langsung memberi implikasi bahawa usaha untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing masih tidak menunjukkan keberkesanan.

"Berdasarkan anggaran rasmi, terdapat lebih dua juta pekerja asing yang berdaftar dan mereka mewakili 15 peratus jumlah tenaga kerja pada 2015 dan 2019, tidak termasuk pekerja asing tanpa izin (PATI).

"Pada 2015, lapan peratus pekerja asing dalam bidang perkhidmatan, 24 peratus (pembinaan); 19 peratus (pembuatan), enam peratus (perlombongan/pengkuarian) serta 37 peratus (pertanian).

"Pada 2019, jumlahnya tidak begitu berbeza apabila sembilan peratus dalam bidang perkhidmatan, pembinaan (23 peratus); pembuatan (21 peratus); perlombongan/pengkuarian (enam peratus) dan pertanian (22 peratus)," katanya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapat pelaksanaan gaji minimum RM1,500 untuk semua sektor akan menarik minat rakyat tempatan berkhidmat dalam sektor dimonopoli pekerja asing, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani mendakwa pihak industri pilih pekerja asing disebabkan gaji yang rendah untuk pekerja asing sebelum ini.

"Jika diwartakan gaji RM1,500 dilaksanakan kepada semua, maka tiada beza pekerja asing dan tempatan. Justeru ia secara tidak langsung boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan menarik minat pekerja tempatan," katanya.

Mengenai sektor kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang dimonopoli pekerja asing, Mohd Effendy berkata, ia boleh diisi dengan tenaga kerja tempatan jika diberi tawaran gaji bersifat kompetitif.

"Sebelum ini ada laporan rakyat kita yang mempunyai ijazah sarjana muda bekerja di negara jiran sebagai tukang angkat sampah kerana dapat gaji sehingga RM6,000. Ini bermakna mereka boleh bekerja asalkan gajinya adalah bersifat kompetitif dan lebih tinggi dari gaji lantai," katanya.

Berita Harian X