Ahad, 17 April 2022 | 1:21pm

Lalat BSF bantu lupus sisa buangan organik harian

TANAH MERAH: Projek Pengurusan Sisa Lestari melalui Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) menggunakan lalat Black Soldier Fly (BSF) yang dapat membantu mengurangkan pembuangan sampah ke tapak pelupusan, sekali gus meminimumkan penghasilan karbon dioksida.

Ini kerana larva BSF iaitu spesies lalat yang terdapat di kawasan iklim tropika dapat membantu melupuskan pelbagai jenis sisa buangan organik harian.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sampah penduduk akan dibawa ke ruang khas tertutup di belakang Pasar Borong Tanah Merah yang mempunyai larva BSF itu dan mengambil masa 14 hingga 21 hari untuk memakan sisa sampah.

Beliau berkata, projek kelolaan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) itu secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah sampah, sekali gus meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, memelihara sumber alam semula jadi dan paling penting mengurangkan pencemaran alam.

"Secara praktikal, projek ini memberi manfaat kepada 27,000 penduduk bandar Tanah Merah, manakala anggaran potensi pengurangan karbon mencecah 1,070 tan karbon dioksida setara setahun bersamaan dengan nilai penyerapan karbon dalam setahun oleh 26,750 pokok teduhan yang sudah matang.

"Kementerian optimis pelaksanaan konsep bandar rendah karbon yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau domestik dan secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan serta mampu menggamit minat pelaburan asing.

"Penjanaan sisa buangan yang tidak diurus dengan baik boleh mencemarkan alam sekitar, begitu juga dengan longgokan sampah, sistem perparitan yang tersumbat dan pencemaran air yang turut mengancam kesihatan rakyat serta hidupan lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Tuan Ibrahim berkata, Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF itu dianggap satu inisiatif terbaik menggunakan kitaran ekosistem semula jadi dalam menjaga persekitaran.

"GeRAK menerima peruntukan RM35 juta menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi yang diluluskan kerajaan kepada seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia.

"Setakat ini, sebanyak 141 PBT sudah memanfaatkan peruntukan ini untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bandar rendah karbon merangkumi elemen tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan di kawasan atau fasiliti awam.

"Sebanyak 12 PBT di Kelantan sudah diluluskan peruntukan dengan nilai keseluruhan

RM2.94 juta," katanya.

 Tuan Ibrahim (tengah) melihat lalat jenis BSF pada Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, hari ini. - NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA
Tuan Ibrahim (tengah) melihat lalat jenis BSF pada Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Pasar Borong Tanah Merah, hari ini. - NSTP/ SYAHERAH MUSTAFA
Berita Harian X