Sabtu, 16 April 2022 | 2:33pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (kiri) melawat kawasan Mawaddah Centre selepas Majlis Pelancaran Pusat Pembangunan Mawaddah Kelantan di Pusat Khidmat Keluarga Kota Bharu. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad (kiri) melawat kawasan Mawaddah Centre selepas Majlis Pelancaran Pusat Pembangunan Mawaddah Kelantan di Pusat Khidmat Keluarga Kota Bharu. STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ikuti semula kursus perkahwinan

KOTA BHARU: Kerajaan bercadang menganjurkan kursus perkahwinan kepada pasangan suami isteri yang sudah berkahwin selama empat hingga enam tahun, bagi mengatasi masalah penceraian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, bagaimanapun berkata, kursus berkenaan mungkin tidak diwajibkan sebaliknya pasangan terbabit secara sukarela hadir untuk menambah ilmu rumah tangga.

"Cadangan ini sebagai langkah menangani masalah penceraian yang semakin meningkat. Kursus perkahwinan sebelum berkahwin memang sudah ada dan ia diwajibkan kepada semua pasangan.

"Namun, kita mencadangkan kursus perkahwinan ini diadakan kepada pasangan yang sudah berkahwin selama empat hingga enam tahun bagi menambah ilmu rumah tangga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas mengenai kadar penceraian di Kelantan dan Selangor antara yang tertinggi, Idris berkata, pihaknya dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri akan menyediakan kaunseling dan menganjurkan kursus bagi menangani masalah berkenaan.

Katanya, banyak faktor yang menyumbang kepada penceraian termasuk kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Justeru, kita akan bekerjasama dengan semua pihak selain memperbanyakkan kursus yang berkaitan bagi menangani masalah ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, masalah seksual seperti mati putik yang dialami wanita adalah antara penyumbang tertinggi kepada kes perceraian di Kelantan dan Selangor.

Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rosediani Muhamad dilaporkan berkata, tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah mati putik bercerai dengan pasangan masing-masing.

Katanya, mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual wanita mungkin tidak menjadi masalah besar bagi sebahagian wanita, namun ada sebilangannya pula merana dalam diam disebabkan malu untuk mendapatkan bantuan sedangkan ia boleh dirawat.

Berita Harian X