Jumaat, 15 April 2022 | 3:40pm

PETRONAS Pantai Timur sokong agenda kelestarian alam sekitar

Kertih: Sejak lebih dua dekad, PETRONAS sudah mengambil pelbagai langkah untuk menyepadukan unsur kelestarian dalam agenda syarikat.

Ia mengamalkan pendekatan menyeluruh terhadap kemampanan yang mengambil kira aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi rantaian nilai.

Selain menyediakan akses tenaga yang selamat dan berterusan kepada perniagaan serta masyarakat, PETRONAS turut berusaha menyumbang ke arah mengatasi isu perubahan iklim yang semakin mendapat perhatian ramai.

Pada November 2020, syarikat tenaga negara ini mengisytiharkan aspirasinya untuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon (Net Zero Carbon Emissions) menjelang 2050 melalui penyelesaian tenaga bersih di samping menghasilkan tenaga karbon rendah.

Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli, berkata selain berusaha memastikan operasi PETRONAS di Pantai Timur mematuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan, Agenda Pembangunan Lestari PETRONAS itu diterjemahkan melalui aktiviti tanggungjawab sosial korporat di sekitar kawasan operasi.

Antara agenda kelestarian yang diusahakan ialah penubuhan Pusat Pendidikan Alam Sekitar ecoCare (EEC) yang ditubuhkan pada 2005 dan dirasmikan pada 2013.

EEC adalah pusat pendidikan alam sekitar yang pertama seumpamanya di Pantai Timur Semenanjung. Melalui kerjasama dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), EEC menjadi pusat pendidikan alam sekitar dan penyelidikan ekosistem hutan paya bakau yang popular bagi penyelidik, pelajar universiti serta komuniti.

Antara aktiviti utama EEC ialah Program Pemuliharaan Bakau yang kini menjadi aktiviti berterusan melalui pembabitan sukarelawan dan masyarakat setempat.

Kakitangan INSTEP menunjukkan teknologi kompos makanan melalui penyediaan rumah kompos makanan di kampusnya, di Kuala Nerus.
Kakitangan INSTEP menunjukkan teknologi kompos makanan melalui penyediaan rumah kompos makanan di kampusnya, di Kuala Nerus.

Usaha ini penting dalam memulihara kepelbagaian biologi paya bakau yang kaya di Sungai Kertih berhampiran kawasan operasi loji PETRONAS di samping menyemai semangat kesukarelawanan dalam aktiviti kelestarian.

Pada 2019, lebih daripada 4,000 pengunjung mengambil bahagian menanam lebih daripada 2,000 pokok meliputi kawasan seluas 2,500 meter persegi di sepanjang Sungai Kertih dan lebih daripada 4,000 biji benih bakau disemai. Sehingga kini 11,000 meter persegi hutan paya bakau sudah dibangunkan di EEC.

PETRONAS juga sentiasa komited memastikan kualiti udara yang baik di kawasan sekitar operasinya. Sejajar matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030, PETRONAS, mengharamkan penggunaan 20 jenis bahan pemusnah ozon (Ozone Depleting Substances) di semua operasi PETRONAS sejak 1994.

PETRONAS juga menetapkan sasaran had pelepasan gas rumah hijau (GHG) Malaysia kepada 49.5 juta tan CO2 pada 2024, di samping berusaha meningkatkan kapasiti tenaga bersih boleh diperbaharui menjelang 2024.

 Program Pemuliharaan Bakau dengan pembabitan sukarelawan dan masyarakat setempat antara aktiviti utama berterusan EEC.
Program Pemuliharaan Bakau dengan pembabitan sukarelawan dan masyarakat setempat antara aktiviti utama berterusan EEC.

Sebanyak tiga stesen pemantauan kualiti udara diwujudkan di Kawasan Kompleks Petrokimia PETRONAS Kerteh (KIPC) dan sebuah stesen kawalan kualiti udara di Paka yang berfungsi memantau dan mengawal kualiti udara di Kawasan KIPC secara berkala.

Berdasarkan kajian Volatile Organic Compound (VOC) yang dijalankan pada 2020 membuktikan operasi loji PETRONAS di (KIPC) dan Paka menghasilkan kadar pencemaran yang sangat rendah dan tidak menyumbang kesan negatif terhadap lapisan ozon.

Selain itu, Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Kuala Nerus melaksanakan teknologi kompos makanan melalui penyediaan rumah kompos makanan di kampusnya.

Rumah kompos itu mampu mengkompos 15,000 kilogram sisa makanan setahun seterusnya membantu mencapai sisa makanan sifar dengan menukarkan kepada bioorganik ataupun baja. Penggunaan baja kompos berupaya mengurangkan penggunaan baja kimia oleh INSTEP untuk tanaman dan aktiviti menghijaukan kampus.

PETRONAS yakin, agenda kelestarian menjadikan PETRONAS sebagai model kelestarian di Malaysia dan seterusnya, mengembangkan perniagaan untuk beberapa dekad akan datang.

Berita Harian X