Khamis, 14 April 2022 | 9:12pm

RM157 juta pelan atasi banjir kawasan Shah Alam

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan kira-kira RM157 juta bagi beberapa perancangan menerusi Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD) yang dijangka mula dilaksanakan mulai Jun depan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor, berkata pelan berkenaan akan merangkumi tiga fasa jangka masa iaitu jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata, antara hala tuju penyediaan pelan tindakan banjir Shah Alam adalah menaik taraf sistem perparitan utama perbandaran ke arah rekabentuk minimum yang boleh ditampung selama 50 tahun 'average recurrance interval' (ARI).

"Rekabentuk sistem perparitan sedia ada hanya mempunyai kapasiti dari lima ke 20 ARI bagaimanapun, dengan peningkatan taburan hujan dan air yang tidak menentu serta melebihi kapasiti yang boleh ditampung oleh sistem perparitan sedia ada.

"Hasil dari lawatan ke lokasi berisiko banjir, kita dapati ia tidak mencukupi dan sekurang-kurang 50 ARI baru mampu menampung aliran. Sistem perparitan sedia ada juga sudah terlalu lama iaitu dari tahun 1970-an.

"Pelaksanaan akan diadakan secara berperingkat kerana ia pasti akan membabitkan kos yang tinggi. Justeru kita akan mula di kawasan yang berisiko tinggi seperti Taman Sri Muda, Taman Mesra, Seksyen 13 serta TTDI Jaya," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sesi Townhall bagi penyediaan SASuD di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zamani Ahmad berkata penyelesaian masalah ini perlu mengambil kira dua kaedah utama dalam penghasilan pelan tindakan banjir iaitu 'structural measures' yang terdiri daripada komponen infrastruktur fizikal untuk mengawal banjir dan 'non-structural measure' iaitu komponen pencegahan banjir bukan fizikal seperti ramalan banjir, amaran awal dan pencegahan lain.

Katanya, hala tuju penyediaan pelan tindakan banjir itu juga akan mengambil kira kerja-kerja menaiktaraf kolam takungan agar mampu menampung air sehingga 100 ARI.

"MBSA juga merancang untuk menyediakan struktur tebatan banjir yang mampu mengawal situasi banjir luar biasa dan menyokong sistem tebatan banjir yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Dimaklumkan, penyediaan SASuD adalah mengikut kawasan iaitu kawasan sekitar Lembangan Sungai Rasau/Sungai Nibong (Seksyen 25, 26, 27, 28, 31, 32b, 33, 34 dan 36); kawasan sekitar Lembangan Sungai Air Kuning/Sungai Damansara (Seksyen 13,19,20,21,22,U1,U2,U3,U4,U5,U6,U7,U8); kawasan sekitar Lembangan Sungai Buloh (Seksyen U17,U18,U19,U20), kawasan sekitar Lembangan Sungai Binjai/Sungai Puloh (Seksyen U9,U10,U13,U14, U15,16), kawasan sekitar Lembangan Sungai Renggam (Seksyen 2,3,4,6,8,9,14,15,17,18,19,23,24), kawasan sekitar Lembangan Sungai Rasah (Seksyen 7,16, Padang Jawa, U11,U12) dan kawasan sekitar Lembangan Sungai Kandis (Seksyen 29,30,32a,34,35,36).

Berita Harian X