Khamis, 14 April 2022 | 4:53pm

Pesakit warga emas diberi keutamaan guna Paxlovid

KUALA LUMPUR: Keutamaan ubat antiviral Paxlovid dalam rawatan jangkitan COVID-19 akan diberikan kepada pesakit warga emas, pesakit memiliki pelbagai komorbid dan masalah sistem imun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata selain itu, pesakit yang diberikan skor tiga dan ke atas juga akan diberikan keutamaan untuk rawatan menggunakan ubat antiviral berkenaan.

Jelasnya, ubat antiviral berkenaan perlu dimulakan dalam tempoh lima hari bergejala bagi mencapai keberkesanan yang optimum.

"Sebanyak 104,000 ubat antiviral untuk patient course, iaitu cukup untuk 104,000 pesakit. Bukan semua kena dapat. Yang memenuhi kriteria akan dapat.

KKM sudah mula menggunakan ubat antiviral Paxlovid bagi merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi. - Foto agensi
KKM sudah mula menggunakan ubat antiviral Paxlovid bagi merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi. - Foto agensi

"Justeru, kita akan ada perbincangan dengan pihak Pfizer dari segi perolehan (ubat antiviral Paxlovid) membabitkan 100,000 lagi ubat untuk perolehan kedua," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Jumlah kuantiti keseluruhan Paxlovid yang diperoleh oleh KKM adalah sebanyak 104,700 kotak, dengan setiap pesakit memerlukan satu kotak.

Paxlovid yang diluluskan Pihak Berkuasa Kawlaan Dadah (PBKD) pada 3 Mac lalu meluluskan pendaftaran secara bersyarat sebagai ubat antiviral bagi rawatan COVID-19, yang mengandungi dua bahan aktif.

Bahan aktif itu ialah PF07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam sediaan dua tablet yang berbeza. Ia bertindak untuk mengurangkan kemampuan replikasi SARS-Cov-2 seterusnya membolehkan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan.

Mengulas lanjut mengenai kegunaan ubat antiviral itu dalam rawatan COVID-19, Khairy berkata, selain golongan berisiko tinggi dan pesakit COVID-19 dalam tahap dua dan tiga, ia boleh diberikan kepada individu berumur 18 tahun ke atas termasuk tidak memerlukan terapi oksigen.

Katanya, kegunaan ubat itu hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan iaitu di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) dan hospital kerajaan.

"Pesakit COVID-19 yang hadir ke CAC dan hospital kerajaan akan disaring dan dinilai oleh pegawai perubatan berdasarkan jumlah skor bagi kriteria yang telah ditetapkan sebelum dimulakan dengan rawatan ubat Paxlovid.

"Pesakit yang menerima ubat ini perlu memastika pengambil ubat mengikut dos yang disarankan sebanyak dua kali sehari bagi tempoh lima hari.

"Rawatan COVID-19 melalui pemberian ubat Paxlovid di peringkat awal penyakit dapat mencegah jangkitan daripada menjadi lebih mudarat. Kajian turut menunjukkan penggunaan ubat ini boleh mengurangkan hampir 90 peratus risiko kemasukan ke hospital atau kematian," katanya.

Dengan kemasukan Paxlovid, Khairy menegaskan ia bukan bertujuan menggantikan vaksinasi COVID-19 serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengawal penularan jangkitan virus itu.

Mengenai penghantaran fasa pertama Paxlovid di negara ini, Khairy berkata ia sudahpun tiba pada 9 April lalu dan dapat menampung rawatan bagi 48,000 pesakit.

"Setakat ini penghantaran telah dilakukan ke 14 hospital di setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak ke Stor Logistik Farmasi Negeri masing-masing.

"Penghantaran ke dua bagi lokasi iaitu Sabah dan Sarawak akan dilakukan esok.

"Semua penghantaran ini membabitkan 481 CAC klinik kerajaan dan 15 hospital kerajaan," katanya.

Berita Harian X