Khamis, 14 April 2022 | 4:29pm
Annuar (dua dari kanan) dan Noraini (dua dari kiri) pada Majlis Prapelancaran PerantiSiswa #Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia, hari ini. - FOTO BERNAMA
Annuar (dua dari kanan) dan Noraini (dua dari kiri) pada Majlis Prapelancaran PerantiSiswa #Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia, hari ini. - FOTO BERNAMA

350,000 pelajar B40 layak mohon inisiatif PerantiSiswa

CYBERJAYA: Kira-kira 350,000 pelajar golongan B40 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), layak memohon inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia, mulai esok.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata data pelajar terbabit diterima daripada KPT, dan peranti tablet itu bakal dimanfaatkan mereka yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, diploma lanjutan serta ijazah sarjana muda.

Pelajar boleh mengemukakan permohonan melalui laman web rasmi https://perantisiswa.kkmm.gov.my bermula jam 8 pagi esok.

Namun bagi pelajar golongan B40 yang sudah memiliki tablet, beliau berkata, mereka tidak digalakkan memohon kerana mungkin sebahagiannya sudah menerima bantuan daripada pihak luar, kecuali jika peranti terbabit mengalami kerosakan.

"Selain itu, golongan bukan B40 juga boleh memohon inisiatif ini, seperti pelajar yang mengalami bencana alam termasuk banjir sehingga menyebabkan peranti milik mereka rosak atau musnah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis PraPelancaran PerantiSiswa #Keluarga Malaysia di Universiti Multimedia (MMU), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha (KSU) K-KOMM, Datuk Seri Mohammad Mentek; dan KSU KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Annuar berkata, inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui Belanjawan 2022 itu sejajar hasrat kerajaan untuk memastikan Keluarga Malaysia, terutama pelajar IPT, memiliki peranti bagi keperluan pengajian.

Beliau berkata, pelaksanaannya membabitkan kerjasama Kementerian Kewangan dan KPT dengan peruntukan sebanyak RM450 juta, sekali gus dapat membantu melestarikan pengajian, terutama dalam fasa peralihan ke endemik kini.

Malah, katanya, peranti tablet yang bakal diagihkan itu berjenama premium dan sesuai digunakan dalam sektor pendidikan yang mengguna pakai alternatif pembelajaran secara maya atau hibrid.

"Spesifikasi tablet terbabit juga menawarkan kemampuan optimum bagi kesinambungan dan aplikasi asas berkaitan pendidikan.

"Ia bukan peranti untuk keperluan teknikal khusus program pengajian tertentu yang memerlukan spesifikasi tinggi komputer seperti kejuruteraan, pengaturcaraan atau multimedia kreatif," katanya

Annuar menjelaskan, inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia menggunakan konsep guna pakai selama tempoh pengajian.

Katanya, ia bertujuan mengelakkan penyalahgunaan peranti seperti menjual atau memberikannya kepada pihak lain, selain memastikan hanya mahasiswa yang benar-benar memerlukannya mendapat manfaat.

Berdasarkan anggaran jumlah perolehan, beliau berkata, pihaknya akan meneliti jika ada ruang untuk program itu diperluaskan kepada kelompok pelajar selain daripada yang diumumkan pada hari ini.

"Ketika ini, kita sudah pada fasa akhir dan sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan untuk memilih pembekal yang layak serta jenama peranti yang dijangka diketahui pada minggu depan.

"Peranti berkenaan akan diagihkan kepada pelajar mulai Jun depan," katanya.

Annuar sekali gus berharap mahasiswa yang menerima peranti itu kelak akan menjaga keselamatan peralatan berkenaan dengan sebaik mungkin dan memanfaatkan penggunaannya untuk tujuan pembelajaran sepanjang tempoh pengajian mereka.

Berita Harian X