Isnin, 11 April 2022 | 10:46pm
Raja Muda Perlis (tiga dari kanan) merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, hari ini. - Foto JABATAN MUFTI PERLIS
Raja Muda Perlis (tiga dari kanan) merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar, hari ini. - Foto JABATAN MUFTI PERLIS

Raja Muda Perlis mahu guru agama pegang teguh manhaj ASWJ

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar guru agama di negeri ini memahami dan berpegang teguh kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Baginda bertitah, guru agama yang mengajar di Perlis juga perlu mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis bagi menggelak daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 33 Enakmen Jenayah Dalam Syarak dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, kedudukan guru agama dan murabbi adalah mulia di sisi agama, malah mereka mempunyai tanggungjawab mendidik umat Islam untuk kekal berada di jalan yang benar.

"Sudah tentu peranan ini akan menentukan nasib dan keadaan ummah pada masa hadapan. Jentera pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Perlis juga hendaklah memahami peranan guru dan para murabbi.

"Dalam hal ini, bantuan daripada agensi agama Persekutuan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah diperlukan bagi memastikan proses pemahaman dipermudahkan bagi mereka yang berkaitan," titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad dan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin. - BERNAMA

Berita Harian X