Ahad, 10 April 2022 | 2:49pm
Shaikh Harun (tengah) disaksikan Dr Ahmad Azrin (kanan) menyampaikan bantuan zakat Ramadan kepada asnaf di Dewan Terbuka JHEAT, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Shaikh Harun (tengah) disaksikan Dr Ahmad Azrin (kanan) menyampaikan bantuan zakat Ramadan kepada asnaf di Dewan Terbuka JHEAT, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

MAIDAM sedia RM12.5 juta bantuan Ramadan

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM12.5 juta untuk membantu meringankan beban golongan memerlukan sempena Ramadan.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata seramai 19,042 Ketua Isi Rumah (KIR) golongan miskin dan 2,145 fakir menerima bantuan antara RM500 hingga RM700.

"Seramai 8,901 KIR yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima bantuan RM700 manakala 10,141 KIR yang kurang tiga orang pula terima RM500.

"Pembayaran bantuan kepada golongan itu akan dimasukkan terus ke akaun penerima berkuat kuasa hari ini," katanya selepas majlis pengagihan zakat Ramadan, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amirri Ngah.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, MAIDAM memutuskan tiada kutipan zakat dilakukan di pasar raya dan pasar awam tahun ini. Sebaliknya kutipan zakat hanya dilakukan di masjid dan surau.

Berita Harian X