Ahad, 10 April 2022 | 12:08pm
Kanak-kanak dan remaja Afghanistan mengambil upah membawa beg pengembara menggunakan kereta sorong. - NSTP/ASWADI ALIAS
Kanak-kanak dan remaja Afghanistan mengambil upah membawa beg pengembara menggunakan kereta sorong. - NSTP/ASWADI ALIAS
Kanak-kanak dan remaja Afghanistan juga sanggup mengambil upah membawa individu menggunakan kereta sorong. - NSTP/ASWADI ALIAS
Kanak-kanak dan remaja Afghanistan juga sanggup mengambil upah membawa individu menggunakan kereta sorong. - NSTP/ASWADI ALIAS

Kereta sorong 'sambut' pengembara di Afghanistan

HERAT: Ketibaan 14 peserta Kembara Ramadan Afghan Muslim Care Malaysia (MCM) ke bumi Afghanistan, semalam, 'disambut' puluhan kanak-kanak dan remaja yang mencari sesuap nasi dengan mengambil upah mengangkut beg menggunakan kereta sorong.

Alat beroda satu itu menjadi barangan penting sebagai punca rezeki kanak-kanak dan remaja terbabit yang menunggu pengembara menyeberangi sempadan di Islam Qalla, di sini, selepas melalui Terminal Polis Imigresen Dogharoon, Taybad Iran.

Pemandangan kanak-kanak kepenatan berlari anak membawa beg pengembara menggunakan kereta sorong, menunjukkan betapa gigihnya golongan cilik itu berusaha ikhtiar hidup di bumi yang sudah menempuh konflik bersenjata selama empat dekad.

Malah, jika ada yang tidak larat berjalan, kanak-kanak berkenaan juga sanggup membawa individu terbabit menggunakan kereta sorong.

Pekerja cilik itu akan datang mendekati pengembara dengan harapan khidmat mereka diperlukan membawa apa sahaja untuk melintasi 'no-man's land', kira-kira 500 meter darat dari pintu sempadan Iran dan Afghanistan.

Selain menolak kereta sorong, ada juga budak yang akan mendekati pengembara untuk menjual pelitup muka dibawa mereka, antaranya ialah Safiullah, 10.

Pada Mac lalu, Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hanya dua peratus daripada penduduk Afghanistan mempunyai makanan mencukupi.

Lebih tiga juta kanak-kanaknya pula mengalami masalah kekurangan zat makanan, manakala sejuta orang lagi dijangka mati akibat kelaparan.

Memburukkan keadaan apabila Bank Dunia menggantung penyaluran bantuan kewangan kepada Afghanistan selepas Taliban menguasai negara ini.

Sekatan berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) mengundurkan sepenuh tenteranya keluar dari Afghanistan, Ogos tahun lalu. Tentera AS mula ditempatkan di Afghanistan sejurus selepas 11 September 2001.

Sumbangan untuk rakyat Afghanistan boleh disalurkan secara dalam talian melalui pautan https://infaqpay.my/plus/care4afghan-mcm atau melalui akaun Maybank Muslim Care Malaysia: 564490413882; Bank Islam 14014010147470; atau Bank CIMB 8604171675.

Orang ramai juga boleh menghubungi Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, melalui talian 019-2518771; Timbalan Presiden, Mohd Johari Ismail (016-9978323); atau Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar (013-4886447).

Ketika ini, Kembara Ramadan Afghan atau Care4Afghan 2.0 membawa amanah rakyat Malaysia, termasuk menaja iftar golongan tidak berkemampuan, projek air bersih menerusi telaga tiub, program memperkasakan wanita Afghanistan melalui latihan kemahiran jahitan dengan bekalan mesin jahit, dan membangunkan masjid pertama Malaysia di Kabul.

Berita Harian X