Ahad, 10 April 2022 | 9:04am

COVID-19: MRSM Muar ditutup seminggu

JOHOR BAHRU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar diarahkan tutup selama tujuh hari bermula semalam, selepas 30 pelajarnya didapati positif COVID-19.

Notis perintah penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon ketika mengesahkan perkara itu berkata, 11 pelajar terbabit disahkan positif COVID-19 melalui ujian saringan yang dilakukan pada hari ketiga mendaftar masuk ke asrama sejak Isnin lalu.

"Kemudian pada hari kelima, ujian saliva telah dilakukan ke atas semua pelajar dan keputusannya mendapati 19 lagi pelajar positif COVID-19.

"Semua pelajar yang positif itu sudah dikuarantin di tempat ditetapkan, malah pengasingan serta-merta juga dilakukan atas nasihat PKD Muar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Penutupan MRSM berkenaan turut disahkan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu. – BERNAMA

Berita Harian X