X
Sabtu, 9 April 2022 | 8:11pm

Pengusaha pelancongan digesa tingkat keselamatan, elak tragedi

SEPANG: Pengusaha pelancongan diminta mempertingkat keselamatan bagi menangani kelemahan yang terdapat dalam perkhidmatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengusaha pelancongan perlu mengambil pengajaran daripada kejadian penyelam hilang yang berlaku di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor.

Katanya, kejadian itu diharapkan dapat mengingatkan pengusaha pelancongan supaya menitikberatkan isu keselamatan.

"Perkara itu adalah tanggungjawab kita untuk memastikan keselamatan mereka yang terbabit dalam aktiviti pelancongan kerana mereka adalah tanggungjawab kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Dayang Fatimah Tom Abang Saufi dan Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Rabu lalu media melaporkan empat pelancong didapati hilang ketika membuat latihan selaman di pulau berkenaan, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman, Mersing.

Penyelam warga Norway, Kristine Grodem, 35, ditemukan selamat pada Khamis lalu, manakala dua penyelam Adrian Peter, warga Britain dan Alexia Alexandra, rakyat Perancis ditemui selamat oleh nelayan tempatan kira-kira jam 1 pagi tadi di perairan Pengerang berhampiran sempadan perairan Indonesia.

Bagaimanapun, warga Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, yang juga anak Peter disahkan maut dalam kejadian itu kerana tidak dapat bertahan.

Nancy berkata, kes itu adalah bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak penguat kuasa.

Sementara itu, mengulas mengenai isu amalan penyediaan makanan tidak menepati standard yang dikesan di beberapa hotel, Nancy berkata, semua pengusaha hotel diminta supaya memastikan premis mereka dalam keadaan bersih.

Beliau berkata, pihaknya mahu premis makanan selamat dan juga bersih, sekali gus dapat menarik kedatangan pelancong asing dan domestik.

"Kita semua perlu memainkan peranan untuk memastikan tempat kita bersih dan sekiranya ada nampak kotor maklumkan kepada pihak berkuasa," katanya

Nancy melancarkan pameran KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - NSTP/Samadi Ahmad
Nancy melancarkan pameran KUL Art Airport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - NSTP/Samadi Ahmad
Berita Harian X