Sabtu, 9 April 2022 | 11:15am
Awa bersama cicitnya berusia lapan tahun yang menghidap masalah usus. - NSTP/NURALIAWATI SABRI.
Awa bersama cicitnya berusia lapan tahun yang menghidap masalah usus. - NSTP/NURALIAWATI SABRI.

Awa tabah jaga lima cicit

MELAKA: "Selagi dipinjamkan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur, saya akan jaga mereka," kata Awa Minhat, 79.

Warga emas itu yang tabah menjaga lima cicit berusia 7, 8, 14, 17 dan 18 tahun sejak kecil selepas ibu bapa mereka berpisah, berkata sebelum ini ada yang mahu mengambil lima beradik itu sebagai anak angkat, namun dia tidak sanggup berpisah dengan cicit kesayangan.

"Biarlah kami tinggal di sini bersama-sama, malah cicit yang sudah besar ada untuk membantu jaga adik mereka. Walaupun cicit lelaki berusia lapan tahun menghidap masalah usus dan perlu mendapat rawatan di hospital, ia tidak membebankan saya," katanya.

Pesara atendan hospital yang ditemui di rumahnya di Bukit Piatu, di sini, berkata dia pernah memberitahu semua cicitnya, tidak akan menghalang jika mahu bersama ibu mereka.

"Namun, mereka yang tak mahu. Cuma seorang cicit berusia 13 tahun tinggal bersama ibunya, yang lain dari kecil lagi dengan saya sampaikan saya dipanggil emak," katanya bersyukur wang pencen diterimanya cukup untuk menampung keperluan makan minum serta persekolahan cicitnya.

"Apa yang penting dan termampu saya lakukan termasuk pastikan mereka ke sekolah serta mendapat pendidikan. Kini cicit sulung sudah bekerja sementara, jadi sedikit sebanyak boleh membantu apa yang sepatutnya," katanya.

Awa berkata, dalam keadaan serba kekurangan, saban tahun dia akan berusaha menyediakan sepasang baju baharu buat cicitnya dalam meraikan Aidilfitri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik, berkata kanak-kanak terbabit layak menerima Bantuan Kanak-Kanak berjumlah RM600 sebulan, bermula Mei depan.

Katanya, JKM juga mengambil tindakan awal menyumbang barangan makanan serta RM200 daripada Tabung Bantuan Segera.

Berita Harian X