Sabtu, 9 April 2022 | 8:18am
Peniaga minuman di pasar Ramadan menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuantan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat
Peniaga minuman di pasar Ramadan menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuantan. - Foto NSTP/Mohd Rafi Mamat

MBK perkenal tanpa tunai di pasar Ramadan, bazar Aidilfitri

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) memperkenalkan sistem pembayaran tanpa tunai di 25 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini.

Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin, berkata peniaga dan pembeli boleh membuat urus niaga dengan menggunakan aplikasi dompet digital Boost (e-Wallet Boost) dengan mengimbas kod Respons Pantas (QR).

Menurutnya, pengguna hanya perlu memuat naik aplikasi berkenaan untuk membeli apa juga barangan di bazar Aidilfitri dan pasar Ramadan tanpa perlu mengeluarkan wang tunai, sebaliknya hanya mengimbas kod sahaja.

"Sistem yang diperkenalkan itu akan memudahkan bukan sahaja pengguna tetapi juga peniaga yang tidak lagi perlu membawa wang tunai dengan jumlah yang banyak dalam satu masa.

"Peniaga juga tidak bimbang tiada pulangan wang kecil kepada pelanggan selain mengelak kejadian penggunaan wang palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau menjelaskan sistem pembayaran berkenaan diperkenalkan bagi mendidik masyarakat supaya menggunapakai aplikasi dan kemudahan teknologi digital dalam kehidupan harian terutama ketika menguruskan aktiviti jual beli secara terbuka.

Hamdan berkata, pihaknya mengharapkan budaya yang cuba diwujudkan dalam kalangan peniaga ini menjadi contoh transaksi secara tanpa tunai seterusnya dapat mendidik pengguna.

"Justeru, kita yakin digital juga adalah satu perkara yang menjadi teraju kepada penggerak ekonomi, ia juga amat baik dari segi penjagaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Peringkat awal kita mungkin tidak selesa menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai, namun percayalah ia akan selesa apabila sering digunakan," katanya.

Hamdan berkata, dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada masyarakat daerah ini pihaknya mengadakan pelbagai kempen seperti Bandar Hijau - Kuantan Go Green, Kitar Semula Minyak Terpakai, Bebas Plastik (No To Plastic), Amalan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula dan Tak Nak Merokok.

"Kita ingin masyarakat dari semua golongan termasuklah peniaga, penjaja, pengusaha dan pengguna dapat menyambut baik pelaksanaan kempen ini dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat, produktif dan mampu melahirkan modal insan yang dapat meneraju pembangunan pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X