Jumaat, 8 April 2022 | 11:39am
Sebahagian tanah sawah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, yang tidak dapat diusahakan lagi kerana ditumbuhi pokok menerong dan terbiar akibat ancaman air kotor. - Foto ihsan CAP
Sebahagian tanah sawah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, yang tidak dapat diusahakan lagi kerana ditumbuhi pokok menerong dan terbiar akibat ancaman air kotor. - Foto ihsan CAP
Penduduk menggunakan pam untuk membuang air kotor yang memasuki rumah mereka. - Foto ihsan CAP
Penduduk menggunakan pam untuk membuang air kotor yang memasuki rumah mereka. - Foto ihsan CAP

Sawah padi, rumah diancam air kotor

GEORGETOWN: Kira-kira 10 hektar sawah dan beberapa rumah di Kampung Haji Din dan Kampung Sungai Jagung, Sungai Layar dekat Sungai Petani, Kedah, terjejas diancam air kotor dari kawasan perumahan berdekatan.

Masalah itu didakwa sudah lama berlaku menyebabkan petani dan penduduk terbabit mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman padi dan harta benda setiap kali hujan lebat.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata tinjauan mendapati masalah itu dipercayai akibat longkang lama di kawasan berkenaan tidak berfungsi dengan berkesan, manakala longkang yang baru dibina pula menghala ke kawasan sawah.

Berikutan itu, katanya, setiap kali hujan lebat, air kotor dan busuk dari kawasan perumahan menerjah masuk ke kampung dan sawah penduduk.

"Sebahagian daripada tanah sawah yang terbabit dengan masalah ini tidak dapat diusahakan lagi kerana ditumbuhi pokok menerong dan terbiar akibat ancaman banjir air kotor berkenaan.

"CAP kesal dengan kejadian ini yang sudah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan diambil oleh pihak berkenaan. CAP bimbang keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan petani dan penduduk, malah menyebabkan tanah pertanian dan kampung tradisional di kawasan ini juga lenyap.

"Penduduk dan pemilik sawah yang mengalami kerugian akibat masalah ini wajar diberi pampasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Mohideen berkata, CAP menggesa Kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan jabatan berkaitan supaya menjalankan siasatan secara menyeluruh ke atas punca masalah itu dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Sementara itu, penduduk, Tajudin Ibrahim, 70, yang mengusahakan sawah di Kampung Sungai Jagung, mendakwa benih padinya mati akibat dicemari air kotor dan berbau busuk dari kawasan perumahan di sini.

"Setiap kali air kotor melimpah masuk ke dalam sawah, saya bersama empat lagi petani yang mengusahakan tanaman padi berhampiran longkang di kawasan ini mengalami kerugian besar akibat kemusnahan benih dan padi," katanya.

Shukri Md Noor, 40, pula berkata selain rumahnya kerap dimasuki air kotor, beliau juga terpaksa meninggalkan kerja sawah berikutan hasil padi merosot teruk akibat kejadian itu.

Seorang lagi penduduk, Azizah Ismail, 65, berkata beliau terpaksa menggunakan pam setiap kali hujan lebat bagi membuang air yang melimpah masuk ke dalam rumahnya.

Berita Harian X