Jumaat, 8 April 2022 | 11:01am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Amaran angin kencang, laut bergelora di Laut China Selatan

KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa sehingga Ahad ini.

Ramalan itu berdasarkan analisis model METMalaysia Weather Research and Forecasting Model (MET-WRF), European Centre for Medium-Range Weather Forecasts (ECMWF) dan Global Forecast System (GFS).

Menurut kenyataan METMalaysia, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

"Bagi perairan Malaysia (kategori kedua) angin kencang barat daya berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga Ahad ini.

"Keadaan ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya hari ini.

METMalaysia memaklumkan, amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan sekitar perairan Sarawak, Sabah Barat dan Labuan sehingga jam 10 pagi hari ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

"Bagi aktiviti perkapalan (kategori ketiga) angin kencang timur laut melebihi 60 kmsj dengan ombaki melebihi 4.5 meter dijangka di kawasan perairan timur Condore dan barat Reef North sehingga Ahad (10 April)," katanya.

Menurut METMalaysia lagi, bagi aktiviti perkapalan (kategori kedua) pula angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan perairan barat Condore, Bunguran, timur Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan dan Palawan juga sehingga Ahad.

"Keadaan angin kencang dan laut bergelora iniberbahaya kepada semua aktiviti perkapalan serta pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan pekerja di pelantar minyak.

"Bagi aktiviti perkapalan (kategori pertama) angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan tenggara Samui, Tioman sehingga Ahad 10 April," katanya.

"Selain itu, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di kawasan perairan Phuket, Selat Melaka, Samui, Tenggara Condore, Timur Bunguran, Selatan Reef North, Reef South, Layang-Layang, Labuan, Sulu dan Sulawesi sehingga jam 10 pagi hari ini.

"Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil," katanya

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Berita Harian X