Khamis, 7 April 2022 | 10:42am
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim (kanan), beramah mesra dengan sebahagian media pada majlis berbuka puasa bersama media, malam tadi. - Foto BERNAMA
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim (kanan), beramah mesra dengan sebahagian media pada majlis berbuka puasa bersama media, malam tadi. - Foto BERNAMA

Terengganu manfaat lebih 1,000 hektar tanah terbiar

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memanfaatkan lebih 1,000 daripada 8,000 hektar tanah terbiar di negeri itu dengan pelbagai projek pertanian yang menguntungkan rakyat sejak 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kejayaan itu menjadikan Terengganu, negeri kedua terbaik di negara ini dalam usaha pemulihan tanah terbiar pada tahun lalu.

"Kita berada di kedudukan kedua terbaik selepas Pahang, malah hanya Terengganu satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan khas dalam program memajukan tanah terbiar iaitu RM1 juta setiap tahun.

"Peruntukan ini kita salurkan dalam bentuk skim untuk membina infrastruktur di tanah berkenaan seperti pagar, sistem perparitan atau pembersihan dengan jumlah bantuan RM20,000 setiap hektar," katanya selepas majlis berbuka puasa bersama media, di sini, malam tadi.

Katanya, tanah terbiar terbabit adalah tanah milik perseorangan atau syarikat dengan keluasan lebih satu ekar atau 0.4 hektar yang tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Azman berkata, pihaknya membuat permohonan untuk penambahan peruntukan dalam Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu, berikutan peruntukan sedia ada sebanyak RM1 juta sudah habis disalurkan kepada lebih 600 petani, penternak dan pengusaha ikan sangkar yang terjejas akibat banjir pada akhir Februari lalu.

"Setiap tahun, memang jumlah peruntukan tabung itu ialah RM1 juta, namun kerugian akibat banjir yang berlaku baru-baru ini terlalu besar dengan nilai kerugian keseluruhan RM12.9 juta.

"Oleh itu, kita kemuka permohonan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya peruntukan tambahan itu dapat digunakan hingga akhir tahun ini," katanya.

Bantuan yang diberi melalui tabung itu adalah mengikut penilaian semasa berdasarkan kerugian yang dialami, contohnya untuk sektor pertanian antara RM1,000 hingga RM1,500 per hektar, kematian lembu (RM500 seekor) dan sangkar ikan yang musnah (10 peratus daripada kerugian sebenar). – BERNAMA

Berita Harian X